• 2025-07-28 09:16 AM

KOTA BHARU: Polis menahan lima individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen serta melakukan ugutan dan kerosakan harta benda, termasuk menyimbah cat merah di kediaman mangsa. Operasi dikenali sebagai Op Vulture itu dilaksanakan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Kota Bharu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek pertama ditahan pada 23 Julai di Pasir Tumboh, Kubang Kerian manakala empat lagi ditahan pada 25 Julai di Pasir Hor. “Polis merampas 34 barangan bukti termasuk cat merah, nota ugutan, telefon bimbit, dan motosikal,“ katanya.

Menurutnya, suspek berusia 25 hingga 39 tahun itu disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya sembilan kes khianat harta benda di Kota Bharu, Tumpat, dan Tanah Merah. “Mereka memecah cermin, tampalkan nota ugutan, dan kunci pagar rumah mangsa sebagai tekanan,“ jelas Mohd Yusoff.

Kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan Seksyen 427/506 Kanun Keseksaan. Kesemua suspek direman untuk siasatan lanjut. Orang ramai dinasihatkan mengelak pinjaman tidak sah dan semak saluran rasmi sebelum urus niaga kewangan - Bernama