PUTRAJAYA: Ibu tunggal Loh Siew Hong menfailkan afidavit bagi membantah permohonan kerajaan negeri Perlis untuk semakan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini berhubung status agama Islam tiga anaknya.
Peguamnya A. Srimurugan yang mengesahkan perkara itu kepada Bernama berkata afidavit berkenaan difailkan hari ini.
Pada 30 Okt lepas kerajaan Perlis memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Persekutuan bagi memohon mahkamah mengetepikan keputusannya sebelum ini, yang menolak kebenaran merayu yang difailkan oleh kerajaan negeri dan tiga pihak lain.
Kerajaan negeri menyatakan bahawa keputusan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini telah menjejaskan hak mereka untuk didengar, dan mereka memohon pendengaran semula permohonan kebenaran merayu.
Permohonan yang ditolak pada 14 Mei lepas itu menghalang pemohon termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pendaftar mualaf Negeri Perlis, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin daripada meneruskan rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada 10 Jan.
Pada 10 Jan lepas Mahkamah Rayuan telah membatalkan penukaran agama tiga anak Loh kepada Islam dan mengisytiharkan mereka beragama Hindu.
Pada 2023 Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Loh untuk mencabar penukaran agama tiga anaknya kepada Islam.
Loh, 37, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 25 Mac 2022, memohon pengisytiharan bahawa tiga anaknya beragama Hindu dan bekas suaminya M. Nagahswara, tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk membenarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa kebenarannya.
Tiga kanak-kanak itu yang diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, diserahkan kepada Loh pada 21 Feb 2022 selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya.