GEORGE TOWN: Bilangan penduduk yang terlibat dengan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara hanya akan diketahui apabila siasatan di bawah Seksyen 12 Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 dijalankan, Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini diberitahu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata proses siasatan itu akan dijalankan dalam tempoh terdekat memandangkan Seksyen 8 akta berkenaan baru diwartakan pada 10 April lepas.
“Kuantum pampasan hanya akan dapat dimuktamadkan setelah proses siasatan di bawah Seksyen 12 APT 1960 terhadap semua pihak berkepentingan diselesaikan. Setakat ini, proses penilaian pampasan masih belum dilaksanakan dan perihal ini akan ditentukan oleh pihak Tribunal Tanah,” katanya.
Beliau menjawab soalan lisan Muhamad Kasim (PN-Telok Bahang) yang ingin tahu peratusan kerja-kerja persiapan tapak dan laluan projek LRT Laluan Mutiara, bilangan penduduk yang terlibat dengan pengambilan tanah atau rumah dan pampasan yang dibayar kepada mereka.
Zairil berkata status terkini projek LRT itu ialah di peringkat pengambilan tanah yang telah diwartakan di bawah APT 1960 oleh pihak Pejabat Tanah dan Galian negeri bersama pihak pemilik projek Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp) bagi lot yang terlibat dengan jajaran LRT Segmen 1 iaitu dari Komtar ke Permatang Damar Laut.
Beliau berkata kebenaran mengguna melibatkan tanah-tanah kerajaan telah diberikan kepada MRT Corp bagi 86 lot setakat ini sementara langkah-langkah bagi kerja awal sedang diusahakan selepas mendapat kelulusan di bawah Seksyen 20A Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.
Projek LRT Laluan Mutiara itu, katanya kini berada pada fasa persiapan awal dan aspek penting dalam kerja-kerja prapembinaan ialah pemindahan utiliti sedia ada, yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum sebarang kerja pembinaan stesen atau jejambat dapat dimulakan.
Beliau juga memaklumkan kerajaan Pulau Pinang komited untuk memastikan projek berkenaan dilaksanakan dengan telus dan berkesan mengikut jadual yang ditetapkan.
Sehubungan itu, beliau berkata beberapa langkah telah diambil pihaknya antaranya mensyaratkan pihak MRT Corp untuk melaporkan status terkini pelaksanaan projek setiap bulan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang dipengerusikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow untuk menyelia kemajuan projek secara berkala.
“Selain itu, pemantauan kerja pembinaan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dan menubuhkan Task Force Pengurusan Lalu Lintas Projek Mega di Pulau Pinang khusus untuk memantau dan memastikan ia dapat berjalan lancar,” katanya.
Kerja-kerja fizikal bagi projek yang dianggarkan sekitar RM13 bilion berdasarkan skop dan reka bentuk terkini itu, dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini manakala pembinaan berskala besar dijangka bermula pada suku keempat 2026.
LRT Laluan Mutiara sepanjang 29.5 kilometer itu merangkumi 21 stesen strategik dan direka untuk meningkatkan keterhubungan antara Pulau Pinang dan tanah besar, sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya.