KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sedang memuktamadkan calon-calon berkredibiliti untuk mengisi jawatan Ketua Eksekutif organisasi itu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihak kementerian pula kini meneliti calon yang layak dalam kalangan bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mengisi jawatan Pengerusi LTAT.

“Saya ingin menegaskan bahawa Kementerian Pertahanan komited untuk terus memantau dan memastikan operasi serta strategi-strategi yang telah dirancang bagi menjadikan LTAT sebagai sebuah dana persaraan yang mampan diteruskan dengan sewajarnya.

“Fokus kementerian dan LTAT adalah untuk memastikan nilai wang simpanan anggota ATM terus dilindungi dan berkembang di samping memastikan kestabilan dan kelestarian dana pelaburan LTAT bagi tempoh jangka masa panjang,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) berhubung tindakan diambil kementerian berhubung isu LTAT ekoran peletakan jawatan beberapa pegawai kanan dalam entiti berkenaan baru-baru ini.

Sebelum ini, tiga pegawai kanan pengurusan LTAT meletak jawatan iaitu Ketua Eksekutif Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman, Pengerusi Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Pengarah Kanan Strategi Dayana Rogayah Omar.

Mohamed Khaled memberi jaminan peletakan jawatan tersebut tidak akan memberi impak yang mengganggu operasi dan perkhidmatan LTAT, sebaliknya organisasi itu beroperasi seperti biasa.

Menurutnya jawatan Pengerusi kini dipangku Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Isham Ishak sementara jawatan Ketua Eksekutif ditanggung Ketua Pegawai Kewangan LTAT Mohammad Ashraf Md Radzi.

“Bagi organisasi seperti LTAT, pelantikan tanggung tugas ini bukanlah perkara yang pelik, ia pernah dilaksanakan sebelum ini semasa peletakan jawatan Ketua Eksekutif Datuk Nik Amlizan Mohamed pada 2020 dan peletakan jawatan Datuk Seri Amrin Awaluddin pada 2021,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai status semasa Pelan Strategik LTAT 2023-2025, Mohamed Khaled berkata secara umumnya, pihaknya tidak ada masalah mengenai pelaksanaan pelan strategik berkenaan.

“Tetapi hanya kita memberi perhatian yang teliti dan cermat apabila sebahagian daripada pelan strategik ini melibatkan penstrukturan semula model perniagaan dan pegangan kepentingan LTAT, ini termasuklah soal pembubaran beberapa syarikat dan penjualan aset-aset atau pegangan LTAT dalam pelbagai syarikat strategik,” katanya.

Berhubung jangkaan tarikh dividen tahunan LTAT 2023, beliau berkata ia akan diumumkan selepas diluluskan Kementerian Kewangan. - Bernama