• 2025-08-18 07:37 PM

KUALA LUMPUR: Dua bekas pelumba berpengalaman menjadi senjata pasukan ProTeam Sepanyol, Burgos-Burpellet BH dalam dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 yang dijadual berlangsung pada 28 Sept hingga 5 Okt ini.

Menurut kenyataan Sekretariat LTdL, pasukan yang tampil buat kali keempat berturut-turut itu, mempertaruhkan dua bekas pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Merhawi Kudus dan Jambaljamts Sainbayar selain mengekalkan pemenang Jersi Polka Dot Raja Bukit tahun lepas, Mario Aparicio Munoz.

Tiga pelumba lain ialah David Martin, Georgios Bonglas dan Jose Manuel Diaz Gallego dengan ketiga-tiganya pernah berkayuh dalam saingan LTdL sebelum ini.

Ketua Pegawai Operasi LTdL25, Emir Abdul Jalal berkata berdasarkan senarai enam pelumba itu, pasukan itu mengejar sekurang-kurangnya tiga gelaran dalam saingan lapan peringkat berkenaan.

“Kekuatan Burgos kali ini terarah kepada peringkat pendakian dengan empat pendaki, amat menarik untuk melihat percaturan pasukan ini setiap hari, lebih-lebih lagi kelibat Kudus, Sainbayar dan Aparicio di laluan berbukit.

“Dengan segala pengalaman dan ‘rahsia’ bentuk laluan serta cuaca tidak menentu di negara ini, Burgos dilihat mempunyai kekuatan tersendiri sepanjang lapan hari saingan nanti,” katanya.

Kudus, 31, pernah menyarung jersi TSG pada tahun lepas dan mula mencipta nama selepas menyertai MTN-Qhubeka pada 2014 menyaksikan beliau menduduki tangga kedua individu keseluruhan LTdL ketika itu.

Selama empat tahun bersama Qhubeka, bakat besarnya membawa beliau menyertai pasukan WorldTeam bersama Astana (2019-2021) dan EF Education (2022-2023) dengan kesempatan berkayuh di Giro d’Italia (dua kali), Tour de France (sekali) dan Vuelta a Espana (enam kali).

Sainbayar, 31, juga pendaki yang disegani, menyarung jersi TSG selama tiga tahun (2021-2023) dan pernah menduduki tangga kesembilan individu keseluruhan pada edisi 2022, selain mengecap banyak kejayaan pada peringkat Asia sebelum juara kebangsaan Mongolia itu menyertai Burgos tahun lepas.

LTdL 2025 akan meliputi 12 negeri di Semenanjung dengan jarak keseluruhan 1,243.5 kilometer, dengan penyertaan 22 pasukan, termasuk tiga WorldTeam, lapan ProTeam, 10 Benua dan satu pasukan kebangsaan Malaysia.

Perlumbaan bermula di Pulau Langkawi sepanjang 96.5 kilometer (km) diikuti Padang Besar-Kepala Batas (170.1 km), Gerik-Pasir Puteh (198.2 km), Kuala Terengganu-Kemaman (140.8 km), Temerloh-Bukit Fraser (133.7 km), Shah Alam-Port Dickson (123.4 km), Melaka-Medini (214.6 km) dan Tangkak-Kuala Lumpur (180.5 km) - BERNAMA