KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) merancang membuka kawasan baharu tanaman padi yang dikenali sebagai MADA Plus bagi menggantikan sawah sedia ada yang terlibat dalam pembangunan negeri.
Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh berkata langkah itu selaras dengan Rancangan Struktur Negeri Kedah 2035 dan pelan pembangunan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) yang melibatkan lebih 15,000 hektar kawasan tanaman padi.
“MADA Plus ini ialah kawasan luar MADA dan skim pengairannya di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).”
“Kita telah memohon melibatkan 39 skim berjumlah 10,038.4 hektar.”
“Daripada jumlah itu, lima skim seluas 1,531.4 hektar kini sudah berada pada peringkat akhir kelulusan Exco,“ katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan Forum Pengairan Dunia ke-4.
Menurut Ismail, kawasan utama seperti Jitra, Kubang Pasu, Kota Setar dan Yan yang kini menjadi pusat tanaman padi bakal terlibat dalam pembangunan kerajaan negeri.
MADA melihat potensi kawasan baharu di luar seliaan sedia ada termasuk di Pokok Sena, Kubang Pasu serta beberapa lokasi lain sebagai pengganti.
MADA memaklumkan hampir 10,000 hektar kawasan tanaman padi di bawah seliaan lembaga itu dikenal pasti berpotensi ditukar kepada pembangunan lain termasuk perumahan dan industri.
Ketika ini, MADA memiliki kira-kira 100,000 hektar kawasan tanaman padi dan sedang giat meluaskan kawasan tanaman termasuk di luar kawasan tradisi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan Persekutuan bersetuju menukar status kawasan tanaman padi di beberapa bandar utama di Kedah bagi tujuan pembangunan perumahan dan industri. – Bernama