KUALA LUMPUR: Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) mengulangi gesaan agar Israel menghentikan semua operasi ketenteraan di Rafah dengan segera.

MAHAR dalam satu kenyataan pada Selasa berkata serangan udara Israel semalaman telah membunuh sekurang-kurangnya 35 rakyat Palestin dan mencederakan puluhan orang awam yang tidak bersenjata termasuk wanita, kanak-kanak dan bayi di kem pelarian Rafah di selatan Semenanjung Gaza.

“Jika tentera Rusia membakar berpuluh-puluh pelarian, termasuk kanak-kanak, akan ada jeritan kemarahan dan rasa jijik daripada pemimpin Barat dan media.

“Namun, apabila rakyat Palestin dibakar hidup-hidup oleh Israel, yang terbaik yang boleh diharapkan adalah menunjukkan kebimbangan tanpa sebarang tindakan nyata dan tidak ada usaha untuk menyembunyikan betapa sedikitnya nilai yang diberikan kepada kehidupan rakyat Palestin,“ menurut kenyataan itu.

Ia berkata pemimpin politik dan tentera Israel tidak mungkin lebih jelas dari negara itu bahawa mereka merancang satu daripada jenayah terbesar zaman kita.

Ia berkata pemimpin politik dan tentera Israel tidak mungkin lebih jelas dari negara itu bahawa mereka merancang salah satu jenayah terbesar zaman kita.

Sementara itu, penasihat MAHAR, Nurul Izzah Anwar mendesak agar Israel dilucutkan keupayaan ketenteraannya seperti yang dilakukan sekutu kepada Jerman selepas Perang Dunia Kedua, berikutan pembunuhan beramai-ramai dan penggunaan senjata ke atas orang awam yang tidak bersenjata - termasuk pembakaran kanak-kanak dan bayi.

Beliau juga menekankan pentingnya membuka semula akses tanpa halangan di sempadan Rafah untuk bantuan kemanusiaan memasuki Gaza tanpa sebarang sekatan yang tidak munasabah dan tidak dapat diterima.

Pejabat Media Gaza berkata serangan itu berlaku berhampiran pangkalan logistik Agensi PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Tal al-Sultan.

Serangan itu berlaku walaupun ICJ telah mengarahkan Israel menghentikan serangannya di Rafah, yang lebih sejuta rakyat Palestin mencari perlindungan daripada perang sebelum ia diserang pada 6 Mei.

Israel telah membunuh lebih 36,000 rakyat Palestin di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt tahun lalu.