• 2025-08-31 04:53 PM

PETALING JAYA: Penyanyi popular kelahiran Lubnan, Maher Zain memuji Malaysia kerana konsisten memperjuangkan hak Palestin serta sentiasa menunjukkan solidariti dalam isu kemanusiaan di pentas antarabangsa.

Maher yang berusia 44 tahun berkata semangat itu menjadi contoh buat negara lain, sekali gus membuktikan pentingnya kepimpinan yang berani untuk bersuara menentang penindasan.

“Kita memerlukan lebih banyak negara yang pemimpin dan rakyatnya seperti Malaysia, untuk bangkit menegakkan keadilan serta menentang penindasan di banyak negara, terutama Palestin,” katanya pada sidang media selepas konsert Maher Zain The Live Experience di Idea Live Arena di sini malam tadi.

Beliau berkata muzik juga berperanan sebagai medium berkesan untuk meningkatkan kesedaran, sokongan serta memberi inspirasi kepada masyarakat terhadap perjuangan rakyat Palestin.

“Kita hendaklah sentiasa menggunakan muzik untuk tujuan baik, meningkatkan kesedaran dan memberi inspirasi kepada orang ramai serta membawa mereka kembali kepada agama indah, Islam.”

“Sudah tentu, ia memainkan peranan yang besar,” katanya.

Sementara itu, Maher berkata pertemuan ringkas dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Ehsan, Bandar Kinrara, Puchong minggu lepas telah meninggalkan kesan yang mendalam kepadanya.

Beliau mengakui kagum dengan keperibadian Anwar yang disifatkannya sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat dan sangat merendah diri.

“Kita semua manusia dan oleh itu sangat mengagumkan melihat beliau walaupun seorang Perdana Menteri, tetapi cukup bersikap rendah diri.”

“Masya-Allah,” katanya merujuk kepada pengalaman manis bersama Anwar menunaikan solat di masjid berkenaan yang disertai kira-kira 1,000 jemaah.

Ribuan peminat membanjiri Idea Live Arena bagi menyaksikan persembahan Maher yang kembali ke Malaysia selepas enam tahun.

Beliau mempersembahkan 19 lagu popular termasuk InsyaAllah, For the Rest of My Life, Medina dan Barakallah, selain lagu terbaharu La Tahzan yang diperdengarkan buat pertama kali. – Bernama