KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara bagi membolehkan beliau pergi ke Singapura dan Jakarta, atas urusan keluarga.

Hakim Rozina Ayob membenarkan pasport diserahkan kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rasyidah Murni Azmi memaklumkan pihaknya tidak membantah permohonan Wan Saiful.

“Pasport diserahkan (Wan Saiful) hari ini dan ia perlu dikembalikan semula kepada mahkamah pada 19 Ogos,” kata Rozina.

Terdahulu peguam Chetan Jethwani mewakili Wan Saiful berkata anak guamya akan ke Singapura pada 10 Ogos ini untuk menyelesaikan urusan akaun bank arwah isteri tertuduh, dan menziarah kakaknya yang menetap di Jakarta.

“Saya mohon supaya mahkamah menyerahkan pasport anak guam saya hari ini bagi mendapatkan pelepasan daripada Jabatan Imigresen,” kata peguam itu.

Pada prosiding sama Rozina memaklumkan perbicaraan kes itu akan didengar di hadapan hakim baharu memandangkan beliau akan berpindah pada 15 Ogos ini.

“Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 19 Ogos ini bagi penjadualan semula tarikh perbicaraan kes tersebut di hadapan hakim baharu. Perbicaraan kes yang sepatutnya bersambung hari ini dan esok dilapangkan,” katanya.

Sementara itu Rasyidah Murni berkata pihaknya akan memanggil 50 saksi pendakwaan untuk memberi keterangan dan setakat ini sembilan saksi telah memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

“Selepas ini timbalan pendakwa raya lain yang akan mengendalikan kes ini kerana saya akan berpindah di Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Wan Saiful, 49, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta.

Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan SST bagi projek terbabit.

Wan Saiful didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 Sept 2022.

Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta, dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya bagi membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia, selain memindahkan wang itu ke beberapa akaun syarikat termasuk milik Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini, antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.