Your Title

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan kerajaan untuk menggantung pelarasan bayaran pencen berdasarkan gaji akhir kepada pesara mengikut Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam 2016 berkuat kuasa mulai Januari 2022, sementara menunggu pelupusan rayuan kerajaan di Mahkamah Rayuan.

Hakim Datuk Amarjeet Singh memutuskan demikian selepas mendengar hujah Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi yang mewakili kerajaan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam serta peguam Datuk Dr Abd Shukor Ahmad mewakili pesara Aminah Ahmad.

“Setelah mempertimbangkan afidavit dan hujahan daripada kedua-dua pihak, saya dapati terdapat keadaan khas untuk membenarkan penggantungan ini. Tiada perintah mengenai kos,” kata hakim itu.

Dalam pada itu, mahkamah menolak permohonan peguam untuk menggantung keputusan berkenaan.

Kerajaan memfailkan permohonan untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi itu yang membenarkan semakan kehakiman Aminah, dan mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta kerajaan membayar tunggakan pencen dalam tempoh tiga bulan, bermula 16 Jan lepas.

Ahmad Hanir dalam hujahannya berkata pembayaran tunggakan pencen dianggarkan RM1.7 bilion mulai Januari 2022 yang perlu dibayar kepada 531,976 pesara dan ia memerlukan pengiraan semula bagi menyelaraskan pencen.

“Tidak dinafikan bahawa 531,976 pesara itu tinggal di kawasan berbeza sama ada di Malaysia atau luar negara. Sekiranya responden berjaya dalam rayuan di Mahkamah Rayuan akan wujud risiko responden tidak akan dapat balik bayaran tambahan pencen yang telah dibayar kepada 531,976 pesara.

“Oleh itu, responden mohon agar penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 16 Jan lepas dibenarkan,” katanya.

Abd Shukor yang membantah permohonan penggantungan itu berkata pembayaran tunggakan pencen adalah satu kewajipan undang-undang dan bukan suatu perkara yang melibatkan pembaziran masa, kos atau tenaga kerja.

“Prospek kejayaan dalam rayuan masih bersifat spekulatif dan tidak boleh dijadikan alasan untuk menahan pembayaran tunggakan pencen kerana sebarang beban pentadbiran terletak sepenuhnya kepada responden dan tidak seharusnya digunakan untuk menjejaskan hak pemohon (Aminah) serta pesara lain,” kata peguam itu.

Sementara itu, berdasarkan afidavit jawapan kepada permohonan penggantungan itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) diperkenalkan kerajaan bertujuan untuk mengharmonikan pelaksanaan keputusan Mahkamah Persekutuan dengan memelihara kebajikan pesara.

“PKKP adalah pembayaran perbezaan amaun pencen semasa dengan amaun pencen asal bagi menjadikan amaun yang diterima oleh pesara setiap bulan, sama seperti amaun pencen semasa.

“Amaun PKKP yang diberikan ini adalah jauh lebih tinggi daripada tunggakan pencen yang timbul sehubungan dengan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 16 Jan 2025,” katanya dalam afidavit itu.

Aminah, yang bersara sebagai penjawat awam di Kementerian Luar memohon perintah mandamus bagi memaksa responden menyegerakan pelarasan pencen kepada jumlah yang layak mengikut formula terkandung dalam Seksyen 3 dan 6 Akta Pelarasan Pencen 1980 (PAA 1980) sebelum pindaan dibuat di bawah Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA 2013).

Beliau yang memfailkan permohonan itu atas kapasiti sendiri dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam, turut memohon perintah untuk responden membayar tunggakan pencen dalam tempoh 14 hari selain perintah deklarasi yang menyatakan kegagalan membayarnya melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred yang berkenaan, bagaimanapun pindaan 2013 diperkenalkan berdasarkan kadar rata dua peratus kenaikan tahunan.