TENOM: Farah Pardani, isteri kepada Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew, memberitahu Mahkamah Majistret di sini bahawa suaminya dan staf menggunakan satu nombor telefon yang didaftarkan atas namanya.
Farah, yang merupakan saksi pendakwaan ke-16 dalam perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan Ebit Lew, berkata terdapat dua nombor telefon didaftar atas namanya dan satu daripadanya digunakan secara bersama oleh suaminya serta kakitangan.
Beliau berkata telefon bimbit yang digunakan untuk nombor berkenaan turut diuruskan oleh staf untuk menghasilkan video, membuat penstriman langsung, kandungan dan suntingan video.
Ebit Lew menggunakan peranti sama untuk khidmat pesanan ringkas, penghasilan video serta kemas kini bahan siap.
Saksi itu berkata Ebit Lew tidak mempunyai nombor telefon lain selain yang didaftarkan atas namanya, bagaimanapun nombor itu sudah tidak digunakan lagi selepas telefon bimbit terbabit dirampas pada 2021.
Farah berkata beliau juga tidak memaklumkan mengenai penggunaan telefon oleh staf Ebit Lew semasa rakaman percakapan dengan polis kerana tidak memahami sepenuhnya soalan yang dikemukakan kepadanya.
Farah menjawab “tidak ingat” ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad sama ada beliau memohon penjelasan semula daripada pihak polis mengenai soalan yang tidak difahaminya.
Dalam pemeriksaan balas pendakwaan, saksi tidak bersetuju dengan dakwaan Nor Azizah bahawa keterangannya di mahkamah hari ini berbeza dengan rakaman percakapan pada 30 September 2021 berhubung penggunaan telefon bimbit oleh Ebit Lew dan stafnya.
Nor Azizah bertanya sama ada terdapat percanggahan antara keterangan di mahkamah dengan rakaman penyiasat dan mana satu yang tipu.
Farah menjelaskan bahawa ketika ditanya pegawai penyiasat, beliau tidak tahu perlu menyatakan butiran siapa yang memegang telefon untuk buat video atau kandungan.
Pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Analia Kamaruddin dan Muhammad Hidayat Wahab manakala Lew diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut dan Prabjit Singh Gill.
Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah melalui WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.
Kesalahan itu dibawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani bersambung esok. – Bernama