• 2025-07-03 08:22 PM

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan ikat jamin RM50,000 seorang ke atas dua ahli perniagaan yang didakwa menganggotai kumpulan jenayah terancang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA).

Keputusan dibuat dengan majoriti 2-1 oleh panel tiga hakim.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan menyatakan bahawa kedua-dua tertuduh, S. Hemanathan (31) dan N. Nithiyan (39), berjaya meyakinkan mahkamah untuk membenarkan ikat jamin atas faktor kesihatan.

Mereka diarahkan memakai alat pemantauan elektronik dan dilarang keluar rumah tanpa kebenaran polis.

“Selain itu, mereka perlu melapor diri di balai polis setiap dua minggu dan dibenarkan ke hospital untuk rawatan dengan kebenaran polis,“ jelas Nallini.

Hakim Datuk Hanipah Farikullah menyokong keputusan majoriti, manakala Hakim Abu Bakar Jais tidak bersetuju.

Peguam bela Datuk Rajpal Singh berhujah bahawa kedua-dua kliennya memerlukan rawatan konsisten.

Nithiyan menghidap penyakit jantung iskemik dan hipertensi, manakala Hemanathan, yang menggunakan kerusi roda, mempunyai diabetes dan tekanan darah tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee pula menegaskan bahawa rawatan diberikan di penjara dan keadaan kesihatan mereka terkawal.

Kedua-dua lelaki didakwa menganggotai “Geng TR” di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan. Kes mereka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan perbicaraan dijadualkan Oktober 2025. – Bernama