PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman mati ke atas Mohammad Abdullah Mohamed, lelaki yang didapati bersalah membunuh anak perempuannya berusia sembilan tahun pada 2018.
Panel tiga hakim menolak rayuan beliau terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi.
Panel hakim terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah, dan Datuk Azmi Ariffin.
Dalam penghakiman, Azmi menyatakan bahawa walaupun Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 memberi kuasa budi bicara untuk menggantikan hukuman mati dengan penjara 30 hingga 40 tahun, mahkamah berpendapat hukuman mati masih wajar berdasarkan kepentingan awam.
Mohammad Abdullah, bekas anggota tentera berusia 43 tahun, dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi pada Ogos 2023 kerana membunuh Nur Aina Nabihah di sebuah rumah di Jalan Vista Jaya 5, Taman Vista Jaya, Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Kejadian berlaku antara pukul 8.30 malam dan 11.30 malam pada 31 Januari 2018.
Menurut fakta kes, tertuduh mengarahkan mangsa dan adik-beradiknya melakukan tekan tubi dan bangkit tubi sebanyak 500 kali kerana tidak solat.
Apabila mangsa terlalu lemah untuk meneruskan, tertuduh memijak perut kanak-kanak itu dengan sebelah kaki. Ketika disuruh bangun, mangsa gagal berbuat demikian, menyebabkan tertuduh bertindak lebih ganas dengan memijak perut anaknya sekali lagi.
Mohammad Abdullah juga didakwa menolak dan menendang mangsa dengan kuat. Pada prosiding hari ini, beliau diwakili oleh peguam Aina Melina Johan Ariff Lim.