KUANTAN: Mahkamah Syariah di lima daerah di Pahang dibenar bersidang bagi kes mendesak atau untuk merekodkan persetujuan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (gambar).
Beliau berkata mahkamah terlibat akan mendengar tiga kes sahaja sehari dalam tempoh tiga jam bermula 9.00 pagi pada Isnin hingga Khamis, dengan hanya pihak yang berkaitan termasuk hakim dan kakitangan mahkamah serta anggota polis dibenarkan berada dalam dewan bicara.
“Kes yang terlibat akan diberi Perakuan Segera yang mendapat kelulusan daripada hakim mahkamah tinggi atau mahkamah rendah syariah dengan permohonan bagi memperoleh perakuan itu dikendalikan oleh pendaftar atau penolong pendaftar mahkamah.
“Mahkamah terlibat ialah Mahkamah Tinggi dan Rendah Syariah di Kuantan, Temerloh dan Bentong serta Mahkamah Rendah Syariah di Pekan dan Rompin dengan syarat utama tiada kanak-kanak atau ahli keluarga dibenarkan menghadiri prosiding,“ katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Wan Rosdy berkata, kes yang dibenarkan pula seperti pengesahan lafaz cerai dengan pihak terlibat mahu kembali rujuk, nafkah anak, hadanah (penjagaan anak) dan permohonan wali hakim dengan syarat pihak terlibat sudah mencapai persetujuan serta melengkapkan prosedur yang ditetapkan.
Bagi urusan pendaftaran kes, Wan Rosdy berkata pihak terlibat boleh menghubungi pegawai bertanggungjawab seperti yang terdapat dalam laman web Jabatan Kehakiman Syariah Pahang dengan urusan seterusnya akan dilakukan menerusi aplikasi WhatsApp atau e-mel.
Pada hari mahkamah bersidang, pihak terlibat juga perlu mematuhi aspek keselamatan seperti memakai penutup mulut dan hidung serta mematuhi jarak sosial, manakala kes melibatkan mereka yang didapati ‘bergejala’ pada hari itu akan ditangguhkan.
Wan Rosdy juga berkata, pembayaran zakat harta hanya secara dalam talian sepanjang PKP, iaitu menerusi portal rasmi Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang di www.zakatpahang.my, Financial Process Exchange PKZ, perbankan internet atau aplikasi PahangGo.
“Hanya mereka yang uzur atau berusia yang tidak mempunyai kemudahan dan kemampuan untuk membuat bayaran dalam talian dibenarkan membuat bayaran di premis atau kediaman dengan pegawai PKZ hadir berdasarkan temujanji.