PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan telah menangguhkan keputusan rayuan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnah beliau terhadap bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azimah Omar membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada peguam kedua-dua pihak.
“Kami memerlukan masa untuk membuat keputusan dan menetapkan 21 Oktober ini untuk pengurusan kes,“ katanya yang bersidang bersama Datuk Dr Choo Kah Sing dan Datuk Dr Shahnaz Sulaiman.
Pada 23 Disember 2024, Mahkamah Tinggi menolak saman Hannah selepas mendapati beliau gagal membuktikan bahawa kenyataan Musa adalah fitnah.
Hannah yang juga Menteri Belia dan Sukan telah memfailkan saman terhadap Musa pada tahun 2020 berhubung kenyataan di forum Universiti Teknologi MARA pada 30 Januari 2020.
Beliau mendakwa Musa dalam ucapannya menuduhnya menulis buku Becoming Hannah dengan tujuan menjadikan Malaysia negara Kristian.
Tuduhan lain termasuk mempunyai hubungan dengan mubaligh Kristian dan Yahudi untuk menjejaskan agama Islam serta mengutamakan kepentingan peribadi berbanding negara.
Peguam Hannah Razlan Hadri Zulkifli berhujah Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila memutuskan kenyataan Musa bukan bersifat memfitnah.
“Kenyataan fitnah itu merujuk kepada perayu dan video kenyataan tersebut telah dimainkan di mahkamah sehingga tiga atau empat kali,“ katanya.
Beliau berkata Arziah mendapati tiada penerbitan kerana responden tidak tahu ucapannya disiarkan secara dalam talian oleh UiTM.
“Kami berhujah kenyataan fitnah itu telah diterbitkan kepada pihak ketiga kerana dibuat di auditorium UiTM dengan kehadiran sekurang-kurangnya 50 orang,“ katanya.
“Responden sedar bahawa ucapannya akan disiarkan secara langsung dan kenyataan itu turut dilaporkan oleh pihak media.”
Beliau berkata jika Mahkamah Rayuan membenarkan saman itu, Hannah menuntut ganti rugi am sebanyak 1.5 juta ringgit dan ganti rugi teruk sebanyak 500,000 ringgit.
Peguam Musa Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berhujah pendedahan anak guamnya dalam forum itu berdasarkan buku tulisan Hannah sendiri dan kajian pakar akademik.
“Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf daripada segi undang-undang mahupun fakta dalam menolak tuntutan perayu sebelum ini,“ katanya. – Bernama