JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengeluarkan perintah larangan bersuara terhadap Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard daripada mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen di media sosial berkaitan projek kasino di Forest City sehingga perbicaraan selesai.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar dalam penghakimannya berkata mahkamah berpendapat Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kebebasan mutlak kepada responden (Badrul Hisham) untuk bersuara bukannya hak yang mutlak.

Beliau berkata responden tidak perlu menggunakan media sosial untuk mempertahankan haknya atas pertuduhan yang dihadapi dan akan mendapat perbicaraan yang adil sebagaimana dijamin dalam Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan selain responden turut diwakili oleh seorang peguam yang berpengalaman dan kompeten.

“Berdasarkan alasan-alasan tersebut, mahkamah menggunakan kuasa semakan yang ada mengakaskan perintah penolakan Hakim Mahkamah Sesyen.

“Mahkamah ini mengeluarkan perintah larangan bersuara atau ‘gag order’ ke atas responden atau ejen, sesiapa wakil, daripada apa-apa hantaran atau komen di media sosial berkaitan kes ini sehingga perbicaraan diselesaikan,” kata Hakim Abu Bakar.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan oleh pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang menolak permohonan mereka untuk perintah larangan bersuara terhadap Badrul Hisham daripada membuat atau mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kes yang sedang dihadapinya.

Pada 30 April lepas, Badrul Hisham mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengeluarkan penerbitan menghasut berkaitan projek kasino di Forest City.

Dia didakwa membuat penerbitan menghasut menerusi akaun Facebook miliknya dengan nama “Che GuBard” di Mutiara Villa Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 6.30 petang, 26 April lepas.

Dalam penghakimannya Hakim Abu Bakar berkata hakim Mahkamah Sesyen semasa menolak permohonan perintah larangan bersuara itu telah gagal menimbangkan keseluruhan senario kes membabitkan responden.

Beliau berkata Badrul Hisham telah dituduh atas dua kesalahan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membabitkan kes hasutan dan fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong dan sekiranya perintah larangan bersuara tidak diberikan, kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara tidak wajar untuk mencemar duli bagi menjawab isu-isu yang ditimbulkan dalam media sosial.

“Responden telah pun diberi jaminan bagi kes-kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Dalam keadaan ini responden bebas untuk menggunakan media sosial untuk membuat hantaran atau komen-komen berkaitan kes ini.

“Di sinilah, hakim Mahkamah Sesyen gagal menimbangkan risiko nyata dan besar untuk responden mengulangi hantaran hasutan yang sama terhadap Yang di-Pertuan Agong sekiranya perintah larangan bersuara tidak diberikan,” kata hakim itu.

Pada 30 April lepas, Badrul Hisham mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut dan Mahkamah Sesyen membenarkan beliau diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Di luar mahkamah, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Badrul Hisham berkata pihaknya akur serta menghormati keputusan hakim dan beliau akan berbincang dengan anak guamnya bagi mempertimbangkan untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.