PUTRAJAYA: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat telekomunikasi tempatan Jason Jonathan Lo hari ini gagal mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi menolak samannya terhadap Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berhubung dua artikel yang diterbitkan pada 2019 dan 2020.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Seri Mariana Yahaya, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu sebulat suara selepas mendapati bahawa perintah Mahkamah Tinggi tidak salah atau memerlukan sebarang campur tangan.

Ketika membacakan penghakiman panel itu, Mariana berkata mahkamah tidak bersetuju dengan hujah perayu bahawa perkataan yang dipertikai perlu dibaca secara berasingan.

Beliau berkata perkataan terbabit sekiranya dibaca secara keseluruhan, bukanlah berbaur fitnah terhadap perayu.

“Justeru itu, mahkamah ini menolak rayuan perayu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi,“ katanya yang turut mengarahkan Lo membayar kos sebanyak RM15,000 kepada Bernama.

Lo telah memfailkan rayuan pada 8 Jun tahun lepas berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak samannya terhadap Bernama pada 30 Mei 2023.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan memutuskan bahawa mahkamah mendapati tiada niat jahat dalam artikel yang diterbitkan itu sebagaimana yang didakwa oleh Lo.

Lo memfailkan saman terhadap Bernama pada Julai 2021 berhubung artikel bertajuk Former Telco CEO charged with trespassing, injecting drug into body dan Court charges singer Jason Lo & colleague with CBT of RM200,000.”

Terdahulu, peguam Adam Luqman Amdan yang mewakili Bernama dalam hujahan berkata sesuatu perkataan perlu dibaca secara keseluruhan untuk menentukan sama ada ia berunsur fitnah atau sebaliknya.

“Artikel Bernama sekiranya dibaca secara keseluruhan, dibuat untuk memberi maklumat kepada orang awam bahawa pengadu telah didakwa di mahkamah atas beberapa pertuduhan.

“Artikel itu secara jelas menyatakan yang pengadu telah mengaku bersalah terhadap dakwaan yang dikenakan terhadapnya dan fakta bahawa pengadu telah dibebaskan dengan jaminan dan mahkamah telah memutuskan tarikh lain sebutan,“ katanya.

Peguam Choo Dee Wei, yang mewakili Lo, pula berhujah bahawa perkataan yang dipertikai perlu dibaca secara berasingan dan bukan secara keseluruhan.

“Perkataan yang telah dipertikai, sekiranya dibaca secara berasingan, atau dalam konteksnya, adalah berunsur fitnah,’’ katanya.