• 2025-07-30 06:00 PM

PUTRAJAYA: Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia perlu segera berhubung dengan semua organisasi media bagi memastikan proses akreditasi serta semah kebebasan media difahami secara tepat dan jelas.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu penting susulan kebimbangan yang disuarakan oleh beberapa wakil media berhubung ketelusan dalam penubuhan dan pengoperasian Majlis Media Malaysia.

“Ada wakil-wakil media menyuarakan kebimbangan, mereka tidak mahu wujud kumpulan dan blok tertentu. Oleh itu, saya meminta pihak Majlis Media dan Lembaga Pengasasnya untuk segera berhubung dengan semua organisasi media agar mereka mendapat maklumat yang tepat menjelang Mesyuarat Agung Tahunan pertama pada November ini,“ katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi hari ini.

Fahmi turut mencadangkan satu pertemuan menyeluruh melibatkan semua organisasi media bagi memastikan ketelusan dan pemahaman bersama mengenai hala tuju majlis itu.

Kerajaan baru-baru ini telah menandatangani pewartaan rasmi bagi penubuhan Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh landskap media negara.

Lembaga itu dianggotai 12 individu yang terdiri daripada empat wakil masing-masing dari syarikat media, persatuan media dan pengamal media bebas serta ahli bukan media.

Penubuhan Majlis Media Malaysia merupakan antara inisiatif reformasi industri media yang sedang digerakkan oleh kerajaan bagi memastikan kebebasan, akauntabiliti dan profesionalisme dalam sektor media kekal terpelihara dan diperkukuh. - Bernama