CYBERJAYA: CyberSecurity Malaysia (CSM) melancarkan Makmal Forensik Kenderaan pertama di Malaysia bagi memperkukuh keupayaan forensik digital negara dalam penyiasatan insiden terutamanya melibatkan kemalangan dan kes jenayah.
Menteri Digital Gobind Singh Deo merasmikan makmal tersebut yang dijangka menyokong siasatan jenayah oleh pihak berkuasa termasuk kes penyeludupan, pemerdagangan manusia dan jenayah rentas sempadan yang menggunakan elemen kenderaan.
Gobind berkata penubuhan makmal itu selaras dengan keperluan untuk mengurus dan menganalisis data secara berkesan bagi membantu siasatan serta mengenal pasti punca sebenar sesuatu insiden.
“Data membolehkan kita menilai dan meneliti bagaimana sebenarnya berlaku insiden tersebut untuk menyelesaikan masalah dari sudut siasatan,“ katanya selepas majlis pelancaran.
Beliau menekankan bahawa data juga membantu mengenal pasti punca insiden dan mengambil langkah seterusnya untuk membaiki kekurangan yang wujud.
Gobind menjelaskan kenderaan moden kini bukan sahaja medium pengangkutan tetapi juga sumber data digital termasuk prestasi enjin, corak pemanduan, kedudukan GPS, rakaman kamera dan sistem infotainment.
“Data ini penting untuk penyelidikan industri automotif sebagai bukti digital siasatan kemalangan, jenayah dan keselamatan awam,“ tambahnya.
CSM akan bertindak berdasarkan permintaan rasmi daripada agensi penguat kuasa seperti PDRM dan JPJ bagi dapatan forensik kenderaan dengan memastikan setiap permintaan mematuhi peruntukan undang-undang perlindungan data peribadi.
“Kita mempunyai undang-undang yang cukup jelas mengenai perlindungan data peribadi dan keselamatan siber yang tidak akan kami kompromi,“ tegas Gobind.
Makmal tersebut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai Makmal Forensik Kenderaan Pertama di Malaysia yang menonjolkan kepakaran CSM dalam bidang keselamatan siber dan forensik digital. – Bernama