Your Title

LONDON: Sebagai pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia akan berusaha untuk menggiatkan semula mekanisme utama seperti ASEAN Plus 3 dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), yang walaupun berupaya menjadi saluran menyatukan pihak yang berbeza, namun kurang dimanfaatkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata EAS merupakan satu-satunya forum serantau yang dikhususkan untuk isu strategik dan keselamatan di rantau itu, diterajui para pemimpin yang meskipun negara masing-masing saling bersaing namun dapat bersidang dalam suasana yang neutral.

“Daripada terperangkap dalam pertikaian kuasa-kuasa besar, kami lebih suka bekerjasama dengan negara anggota dan rakan dialog yang berfikiran sama untuk mencari jalan bagaimana mekanisme sedemikian dapat memenuhi aspirasinya,“ kata beliau.

Anwar berkata demikian semasa menyampaikan syarahan di London School of Economics, bertajuk: “The Adaptive Edge:Malaysia’s Global Strategy in an Uncertain Era” yang dihadiri kira-kira 500 pelajar.

Beliau berkata ini adalah pendekatan pertama Malaysia untuk terus memupuk pertumbuhan bersama, mengukuhkan kerjasama serantau, dan mengekalkan keterbukaan dalam perdagangan dan pembangunan.

“Ini akan melibatkan usaha menggalakkan pendekatan inklusif dan mampan bagi mencapai keamanan dan keselamatan di rantau terdekat, dan melangkaui darinya,” kata Perdana Menteri.

Kedua, kata beliau, Malaysia akan meneruskan pendekatan terbuka dan pragmatiknya yang bertunjangkan kepada prinsip saling menghormati dan menjaga kepentingan bersama apabila melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan juga China.

Meskipun terdapat tanggapan sesetengah pihak bahawa Malaysia cenderung ke arah China, namun hakikatnya Amerika Syarikat secara kumulatif terus menjadi sumber terbesar pelaburan langsung asing di Malaysia, terutamanya dalam sektor teknologi, kata Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan.

“China sebaliknya menjadi rakan dagang terbesar kami sejak 2009, menandakan 16 tahun hubungan perdagangan yang berkembang pesat yang telah menjadi penyumbang penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia,” kata beliau.

Menurut Perdana Menteri mengekalkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat dan juga China bukan semata-mata tentang pragmatisme ekonomi, tetapi satu kemestian strategik untuk menjaga kepentingan negara dalam dunia yang semakin tidak menentu.

“Dengan penglibatan yang seimbang dan membina dengan kedua-duanya (AS dan China), Malaysia dapat memastikan asas ekonomi yang pelbagai, mengurangkan pergantungan berlebihan, dan mengukuhkan kedudukan sebagai ekonomi yang berdaya tahan, terbuka dan berdaya saing,” kata beliau.

Ketiga, kata Anwar, Malaysia akan memastikan kedudukannya sebagai pusat perdagangan, kewangan dan teknologi yang kompetitif, mampu bertahan daripada perubahan yang berlaku di sekelilingnya.

Beliau berkata pada akhirnya kelak, bergantung kepada negara itu sendiri, terutamanya negara membangun, untuk menyedari cabaran struktur lebih meluas yang dihadapinya.

Walau apapun, kata beliau, negara akan berkembang maju apabila ia melaksanakan pendekatan secara bertanggungjawab dan inklusif serta memupuk institusi yang mengekal dan menggalakkan kepercayaan awam.