KUALA LUMPUR: Putrajaya akan menghantar pegawainya ke Washington untuk memulakan proses dialog dengan Amerika Syarikat (AS) mengenai tarif timbal balik 24 peratus yang dikenakan ke atas Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan kemudian mengesahkan delegasi Malaysia akan berlepas ke Washington pada akhir April ini.

Anwar berkata “ini adalah sebahagian daripada diplomasi perbincangan secara baik kita, kita akan menghantar pegawai kita ke Washington untuk memulakan proses dialog. Mungkin agak terbatas untuk penilaian semua, tetapi masih ada ruang untuk menyesuaikan dengan pelaksanaan dasar.”

“Dalam pada itu, Malaysia akan menyesuaikan diri, seperti yang selalu kita lakukan. Angin mungkin beralih, tetapi kita tidak akan hanyut. Strategi kepelbagaian perdagangan kita sudahpun semakin meningkat,“ kata beliau

Walaupun Malaysia berhasrat untuk kekal sebagai rakan perdagangan yang teguh dengan AS, namun dalam masa yang sama kerajaan akan melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk menjaga kepentingan ekonominya, katanya Perdana Menteri menerusi ucapan beliau pada Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 bertajuk: “ASEAN 2025: Membina masa depan berdaya tahan dan terangkum.”

“Ini termasuk melibatkan diri secara proaktif dengan AS bagi mencapai hasil saling menguntungkan dan pada masa yang sama, mempelbagaikan dan mengukuhkan hubungan kita dengan semua pasaran perdagangan utama di seluruh Kesatuan Eropah (EU), Asia, Timur Tengah dan Afrika,“ kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata perdagangan Malaysia dengan AS telah lama menjadi model saling memberi manfaat bersama.

“Eksport kita bukan sahaja menyokong pertumbuhan di sini tetapi pekerjaan berkualiti tinggi di seluruh AS. Hubungan komersial ini telah memberi manfaat yang baik kepada kedua-dua negara tetapi langkah-langkah ini mungkin akan memudaratkan semua,” kata beliau.

Sementara itu Amir Hamzah yang turut sependapat dengan Perdana Menteri berkata perbincangan secara berhemah perlu dilaksanakan dengan AS untuk memahami lebih baik tentang isu tarif tersebut.

Ditanya sama ada Malaysia panik dengan situasi tersebut beliau secara berseloroh menjawab:” Tidaklah. Kita tenang-tenang saja.”

Amir Hamzah berkata walaupun tindak balas (tarif) tersebut mengejutkan, Malaysia mengambil pendekatan berhemah dan tidak beremosi dalam menghadapi situasi tersebut.

“Dengan itu, kita akan pergi ke AS untuk berbincang secara baik dan untuk menggalakkan kefahaman yang lebih mendalam tentang isu ini, selain mencari jalan untuk mendapatkan outcome (hasil) yang lebih baik dari apa yang kita ada sekarang.

“Buat masa sekarang kita jangan panik, jangan tergopoh-gopoh. Kita buat cara yang betul,” katanya ketika ditemui selepas sesi Dialog Menteri: Dasar Makro Struktural ASEAN: Pembaharuan Berbanding Langkah-Langkah Peluasan.