Your Title

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus menilai perkembangan BRICS dari semasa ke semasa bagi memastikan penglibatan Malaysia memberi faedah yang signifikan kepada negara, sejajar dengan matlamat dasar ekonomi termasuk Aspirasi Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan daripada pemerhatian, terdapat pelbagai potensi dari segi ekonomi yang boleh diraih oleh Malaysia melalui penglibatan yang lebih erat dengan gagasan BRICS.

Antara faedah signifikan yang boleh dimanfaatkan Malaysia adalah menjadikan BRICS sebagai suatu landasan untuk mengetengahkan pandangan dan pendirian mengenai isu ekonomi serantau melalui dialog, forum dan perbincangan dengan negara anggota BRICS, tambah kementerian itu.

“Penglibatan dalam dialog dan perbincangan ini membuka peluang yang lebih luas kepada Malaysia untuk mempelbagaikan dan memperkukuh hubungan strategik dengan negara-negara anggota BRICS.

“Dengan penekanan kepada prinsip keberkecualian tanpa menjejaskan hubungan dengan rakan dagang utama sedia ada, Malaysia boleh mengambil peluang untuk mempertingkatkan hubungan ekonomi dengan negara seperti Brazil, Afrika Selatan dan Emiriah Arab Bersatu dalam sektor strategik, antaranya industri halal, biodiversiti dan pembangunan mampan,” menurut MITI menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

MITI menjawab soalan Ganabatirau Veraman (PH-Klang) mengenai jaminan kerajaan bahawa keanggotaan BRICS akan selama-lamanya kekal sebagai pakatan berasaskan pelaburan dan perdagangan.

Beliau juga ingin tahu mengenai langkah yang akan diambil Malaysia jika BRICS berkembang menjadi suatu kerjasama ketenteraan pada masa depan.

Sehubungan itu, MITI menjelaskan bahawa kerajaan berpendapat bahawa perkara itu mampu memberikan kesan besar kepada geopolitik global.

“MITI dimaklumkan bahawa pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu mengambil beberapa langkah strategik bagi menyesuaikan diri dengan landskap baharu tersebut.

“Jika BRICS beralih kepada kerjasama ketenteraan, ia berpotensi mengubah keseimbangan kuasa antarabangsa, terutama dengan kehadiran negara besar seperti China dan Rusia yang memiliki pengaruh ketenteraan yang signifikan,” jelas MITI.

Pada masa ini, negara BRICS yang mempunyai kerjasama pertahanan secara dua hala dengan Malaysia adalah Rusia, India, China, Afrika Selatan, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu, tambah kementerian itu.

MITI menjelaskan manakala Brazil, Iran dan Ethiopia masih belum mempunyai kerjasama pertahanan dua hala dengan Malaysia.

“Sebarang bentuk kerjasama pertahanan dengan pakatan BRICS, khususnya yang melibatkan latihan ketenteraan dan penugasan operasi pada masa hadapan, adalah tertakluk kepada pendirian dan dasar luar negara yang sedang berkuatkuasa,” menurut MITI.

Selain itu MITI menambah, berdasarkan kriteria dan syarat yang perlu dipatuhi untuk diterima sebagai calon ahli baharu termasuk Malaysia, diperhatikan bahawa objektif peluasan gagasan BRICS pada masa ini dilihat tertumpu kepada usaha untuk memperkukuh peranan negara anggota asal BRICS dalam mengimbangi pengaruh dan dominasi kuasa ekonomi Barat ke atas perdagangan dunia, badan kewangan global yang penting seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.

“Walaupun agenda BRICS kini adalah lebih menyeluruh dan meliputi isu ekonomi, sosial dan kewangan, pertimbangan politik juga masih diberi keutamaan.

“Oleh kerana isu ini saling berkait, maka adalah agak sukar untuk memberi jaminan bahawa BRICS akan hanya menumpukan kepada pelaburan dan perdagangan semata-mata,” menurut MITI.