KUALA LUMPUR: Malaysia mengalu-alukan kerjasama dengan China dalam membangunkan industri pemprosesan unsur nadir bumi (REE) tempatan.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyatakan Malaysia sentiasa memanfaatkan kerjasama strategik dengan negara berkeupayaan teknologi tinggi dalam pemprosesan REE.
Walaupun mempunyai deposit nadir bumi, negara masih belum memiliki kepakaran dan teknologi mencukupi untuk memprosesnya.
“Malaysia sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan negara-negara asing yang berkeupayaan dalam pembangunan sumber REE termasuk dari China dan Amerika Syarikat,“ kata kementerian itu.
MITI menjawab pertanyaan Syerleena Abdul Rashid (PH–Bukit Bendera) mengenai imbangan tawaran China dengan hubungan sedia ada bersama AS.
Langkah ini bertujuan memastikan Malaysia tidak terlalu bergantung kepada teknologi pemisahan REE dari satu negara sahaja.
Strategi ini selaras dengan pelaksanaan dasar nasional seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Ia juga selari dengan Pelan Hala Tuju Teknologi Bahan Termaju Negara 2021–2030 yang menumpukan pembangunan bahan berteknologi tinggi. – Bernama