KUALA LUMPUR: Malaysia muncul sebagai salah satu daripada empat pasaran ASEAN paling menarik bagi perniagaan Eropah bersama Vietnam, Indonesia dan Thailand menurut Tinjauan Sentimen Perniagaan Kesatuan Eropah-ASEAN.
Edisi ke-11 tinjauan oleh Majlis Perniagaan EU-ASEAN mendapati ASEAN dianggap menawarkan peluang ekonomi terbaik untuk syarikat Eropah bagi tahun ketiga berturut-turut mengatasi India dan China.
Kira-kira 73% responden menyatakan ASEAN menjadi lebih penting kepada pendapatan global mereka manakala lebih separuh merancang pengembangan operasi di rantau ini.
Keyakinan perniagaan tersebut dibayangi kebimbangan terhadap kemajuan perlahan dalam integrasi ekonomi ASEAN dan penglibatan terhad daripada institusi Eropah.
Tinjauan menunjukkan 71% responden menjangka peningkatan perdagangan dan pelaburan di ASEAN dalam tempoh lima tahun akan datang berbanding 86% pada 2024.
Seramai 58% responden melaporkan halangan bukan tarif terhadap perdagangan semakin meningkat berbanding 40% tahun lepas.
Pengarah Eksekutif EU-ABC Chris Humphrey menyatakan ASEAN terus dilihat sebagai rantau paling menjanjikan untuk pertumbuhan tetapi syarikat Eropah kecewa dengan kemajuan perlahan integrasi serantau.
“Langkah bukan tarif, peraturan tidak konsisten dan halangan berterusan terus menambah kos dan kerumitan sekali gus mengehadkan manfaat sepenuhnya daripada potensi pasaran ASEAN.”
“Jika usaha lebih besar tidak dilakukan bagi menangani halangan ini, rantau ini berisiko gagal mencapai aspirasinya untuk berfungsi sebagai pasaran tunggal yang benar-benar bersepadu,“ katanya.
Beliau menegaskan syarikat Eropah kekal komited untuk mengembangkan operasi di rantau ini tetapi memerlukan kemajuan lebih pantas dalam mengurangkan halangan dan memperdalam integrasi.
“Pada masa sama, EU mesti meningkatkan penglibatannya untuk kekal kompetitif dengan perjanjian perdagangan bebas antara rantau kini dilihat sebagai keperluan strategik.”
“Ketika penjajaran semula perdagangan global berterusan, ASEAN mesti mempercepatkan integrasi dan Eropah mesti mengutamakan penglibatan bagi memastikan tempatnya dalam kisah pertumbuhan rantau ini,“ tambahnya. – Bernama