• 2025-10-15 09:52 AM

KUALA LUMPUR: Perjanjian Perdagangan Timbal Balik yang dijangka ditandatangani Malaysia dan Amerika Syarikat sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 minggu depan disifatkan sebagai perjanjian adil bagi kedua-dua pihak.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan perjanjian itu mengambil kira kepentingan masing-masing negara.

Beliau berkata delegasi perundingan AS telah berada di Malaysia sejak Ahad lepas bagi memuktamadkan perjanjian berkenaan.

Ini susulan persetujuan yang dicapai antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS Donald Trump untuk menandatangani perjanjian itu.

“Kini, kita sedang memuktamadkan perjanjian ini supaya seimbang dan mengutamakan kepentingan rakyat dan syarikat tempatan kita,” katanya dalam program Ruang Bicara Bernama TV.

Tengku Zafrul menekankan kerajaan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat serta perniagaan tempatan sepanjang rundingan.

Beberapa garis merah seperti isu berkaitan Bumiputera, halal dan perolehan terus terpelihara dalam perjanjian tersebut.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai beberapa isu yang mungkin akan dibangkitkan termasuk isu tarif.

Isu tarif tersebut melibatkan sektor semikonduktor dan sektor lain yang terletak di bawah Seksyen 232 Akta Perluasan Perdagangan 1962.

Seksyen 232 itu membenarkan AS mengenakan tarif tambahan atas alasan keselamatan negara.

Trump sebelum ini mengumumkan AS akan mengenakan tarif 100% ke atas produk farmaseutikal berjenama melainkan syarikat membina kemudahan pembuatan di AS.

Bagaimanapun, AS masih belum membuat sebarang keputusan berhubung sektor semikonduktor. – Bernama