Your Title

KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata laporan daripada Pejabat Penyelidikan Makroekonomi Asean+3 (Amro) mengenai pertumbuhan ekonomi Malaysia baru-baru ini telah menonjolkan potensi Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2030, dipacu oleh peningkatan dalam aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI).

Katanya, pelan ke arah itu sudah pun tersedia khususnya bagi meningkatkan ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) negara termasuk menambah baik persekitaran perniagaan serta pelaksanaan cukai minimum global pada 2025.

Malaysia berdedikasi untuk menarik syarikat berteknologi tinggi dan menggalakkan kemajuan rantaian nilai dalam industri sedia ada.

“Melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, usaha juga sedang dibuat secara berterusan untuk memajukan ekosistem semikonduktor termasuk menarik fabrikasi wafer selain memajukan kapasiti pembungkusan, pemasangan, dan ujian bagi mengukuhkan kedudukan industri global Malaysia,” katanya dalam jawapan kepada satu kiriman di laman X hari ini.

Tengku Zafrul membalas kiriman media kewangan tempatan yang memetik Amro mengenai ekonomi Malaysia dan kemuncak kitaran naik semikonduktor pada akhir tahun.

Menurut Amro, keluaran dalam negara kasar Malaysia dijangka berkembang sebanyak lima peratus tahun ini mengatasi purata Asean sebanyak 4.8 peratus.

Amro juga berkata pertumbuhan ekonomi dalam blok serantau itu dijangka bertambah baik, berdasarkan eksport yang lebih tinggi berdasarkan pengembangan kitaran dalam semikonduktor, pengukuhan berterusan dalam penggunaan barangan di Amerika Syarikat dan permintaan untuk perjalanan serta perkhidmatan.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata Semiconductor Equipment and Materials International (SEMI) telah melaporkan pemulihan industri pembuatan semikonduktor global, dengan kenaikan dalam jualan elektronik dan litar bersepadu.

Katanya lagi, sektor semikonduktor Malaysia, juga bersedia untuk pertumbuhan ketara pada separuh kedua 2024, disokong oleh unjuran Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia mengenai lantunan semula pasaran sebanyak 13.1 peratus.

“Malaysia mencapai paras tertinggi dalam sejarah pelaburan diluluskan iaitu sebanyak RM329.5 bilion pada 2023, menokok 23 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan pelaburan asing membentuk 57.2 peratus daripada jumlah keseluruhan,” kata Tengku Zafrul.