Your Title

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini mengadakan pertemuan dengan Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia dan Pertahanan Singapura Zaqy Mohamad.

Mohamed Khaled dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook memaklumkan, dalam pertemuan itu pelbagai perkara telah dibincangkan, antaranya mengenai kemajuan hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura.

“Turut dibincangkan adalah cabaran diplomasi pertahanan khususnya dengan kuasa-kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat serta pengaruh teknologi terhadap strategi ketenteraan masa hadapan.

“Kedua-dua pihak juga bertukar pandangan mengenai pelaksanaan Program Khidmat Negara dan kepentingan pasukan simpanan ketenteraan dalam menyokong pertahanan negara, serta pengaruh teknologi terhadap strategi ketenteraan masa hadapan,” katanya menerusi hantaran di laman media sosialnya hari ini.

Dalam pertemuan berkenaan Malaysia turut mengambil kesempatan untuk menyampaikan aspirasi negara dalam menjayakan kepengerusian ASEAN 2025.

Beliau turut berharap agar hubungan baik antara Malaysia dan Singapura dapat terus diperkukuh, termasuk dalam sektor pertahanan.

Zaqy berada di Malaysia bagi mengiringi Menteri Kanan Singapura Lee Hsien Loong, yang kini sedang dalam lawatan rasmi ke Malaysia untuk menghadiri Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.