KUALA LUMPUR: Malaysia menyatakan kesediaan bekerjasama dengan negara-negara rakan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) bagi mewujudkan sebuah konsortium penyelidikan yang tertumpu kepada kerjasama dalam kecerdasan buatan (AI), blok rantai, integrasi ekonomi digital dan transisi tenaga hijau.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan memaklumkan perkara itu dikemukakan oleh menteri berkaitan Chang Lih Kang dalam sesi Mesyuarat Menteri Jalur Kedua dan Laluan mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi yang berlangsung hari ini dalam lawatan kerjanya ke Chengdu dan Hangzhou, China.

“Malaysia dan China mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh sejak sekian lama, yang terus berkembang hasil daripada pertukaran politik, ekonomi dan budaya yang erat sepanjang 50 tahun lalu,” menurut kenyataan itu.

Chang berada di China dari 10 hingga 14 Jun íni bagi menghadiri Persidangan Jalur Kedua dan Laluan mengenai Sains dan Pertukaran Teknologi (BRST) dan program pengukuhan kerjasama dengan institusi-institusi berkaitan sains, teknologi dan inovasi (STI) di Chengdu dan Hangzhou, China.

Menurut kenyataan itu, satu perjumpaan diadakan di Hangzhou hari ini antara Chang bersama Menteri Sains dan Teknologi China Yin Hejun sebagai susulan kepada usaha sama STI dua hala Malaysia-China.

Menurut MOSTI menerusi Program Penyelidikan Bersama Malaysia-China di bawah usaha sama STI itu, enam projek akan ditaja secara bersama oleh kedua-dua negara dalam bidang teknologi penyimpanan tenaga, vaksin manusia, teknologi angkasa, AI, blok rantai dan teknologi bahan termaju.

Menerusi Program Pertukaran Kepakaran Malaysia-China pula, sepuluh pakar STI dari Malaysia dan sepuluh dari China akan terlibat dalam program pertukaran selama enam bulan di agensi kerajaan, institut penyelidikan dan universiti di Malaysia dan China dalam bidang teknologi penyimpanan tenaga, vaksin manusia, teknologi angkasa, AI, blokrantai, teknologi bahan termaju dan mikroelektronik.

“Program Makmal Bersama Malaysia-China – platform yang terbina menerusi pemeteraian MoU sewaktu lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia pada 15 hingga 17 April lepas menghubungkan institusi akademik dan industri.

“Ia adalah bagi tujuan kolaborasi penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C) dalam bidang kecerdasan buatan, blok rantai, bioteknologi, teknologi bahan termaju dan teknologi tenaga boleh diperbaharui,” menurut kenyataan itu.