KUALA LUMPUR: Malaysia dalam proses akhir melantik perutusan khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata perutusan itu akan menjalankan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar bagi dibawa ke meja rundingan dan dialog politik untuk mencari jalan penyelesaian yang berkekalan berhubung krisis politik dan kemanusiaan di negara itu susulan rampasan kuasa oleh tentera pada Feb 2021.

“Selain itu, kerajaan sedang mengkaji dan merangka strategi yang bersesuaian dari semasa ke semasa untuk mencari penyelesaian inklusif yang berdaya tahan bagi mengakhiri krisis di Myanmar,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di peringkat dasar bagi Wisma Putra pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Malaysia selaku pengerusi ASEAN 2025 katanya bertanggungjawab menerajui usaha ASEAN dalam menangani krisis di Myanmar berdasarkan permuafakatan lima perkara yang telah dipersetujui pemimpin-pemimpin kumpulan serantau itu pada April 2021.

“Malaysia kekal komited dan akan bekerjasama rapat dengan negara anggota ASEAN yang lain, rakan-rakan dialog luar serta pertubuhan-pertubuhan antarabangsa yang berkenaan,” kata Mohamad.

Beliau berkata Malaysia akan mengambil langkah inklusif dan pelbagai serampang bagi mendekati semua pihak di Myanmar, selain melibatkan China dan India dalam perbincangan ke arah mencari jalan penyelesaian berkekalan serta selaras dengan aspirasi rakyat Myanmar itu sendiri.

Mohamad berkata pihaknya berazam untuk menjadikan ASEAN sebagai satu platform kukuh demi kepentingan strategik dan pembangunan berterusan bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan akan membawa manfaat jangka panjang buat negara serta anggota persatuan itu.

“Malaysia bertekad untuk mengutamakan usaha-usaha melalui dialog dan diplomasi berlandaskan prinsip kepusatan ASEAN atau ‘ASEAN Centrality’ ke arah rantau yang aman, stabil, selamat dan makmur,” katanya.