PUTRAJAYA: Malaysia dan Brunei telah mengulangi komitmen masing-masing bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang pertanian, imigresen, pemindahan banduan dan pembangunan belia selain usaha memperkukuh keterjaminan makanan serta mobiliti rentas sempadan.
Komitmen itu dizahirkan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah mengadakan perbincangan sempena Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia-Brunei (ALC) ke-26 hari ini.
ALC adalah mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Brunei yang berfungsi sebagai platform bagi pemimpin kedua-dua negara menilai kemajuan kerjasama sedia ada, membincangkan isu semasa dan bertukar-tukar pandangan mengenai hal-hal serantau serta antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan berkongsi pengetahuan dan kepakaran dalam bidang pertanian bagi memastikan keterjaminan makanan dengan Brunei menzahirkan penghargaan terhadap latihan yang diberikan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) kepada pegawai teknikal Jabatan Pertanian dan Agrimakanan Brunei yang telah membantu memperkukuh sektor pertanian di negara berkenaan.
“Kedua-dua pemimpin berharap untuk meneruskan kerjasama dalam bidang pertanian bagi manfaat kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Menyentuh mengenai isu membabitkan penjara, kedua-dua pemimpin memuji kemajuan yang dicapai di bawah Perjanjian Pemindahan Banduan Antarabangsa (ITOP) yang ditandatangani pada 3 Ogos 2023 di Kuala Lumpur.
“Mereka mengakui kejayaan pemindahan pertama membabitkan seorang rakyat Brunei pada 25 Feb 2025 dan pemindahan enam rakyat Malaysia pada 6 Ogos 2025 untuk menjalani baki hukuman mereka di negara asal, yang mencerminkan koordinasi cemerlang serta komitmen bersama bagi melaksanakan perjanjian tersebut secara berkesan,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin turut menyambut baik penganjuran Mesyuarat Dua Hala ketiga antara Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan Brunei dengan Jabatan Imigresen Malaysia pada 18 Feb 2025 di Bandar Seri Begawan yang mengulangi komitmen bersama mereka terhadap pengurusan sempadan yang berkesan dan selamat dalam usaha menangani isu utama imigresen, penyelarasan operasi serta memudahkan pergerakan rentas sempadan yang selamat dan teratur.
Kedua-dua pemimpin juga mengalu-alukan Program Pengembara Kerap Brunei-Malaysia (BMFTP) yang mempermudah perjalanan rentas sempadan dengan mengurangkan penggunaan cap pasport dan pengendorsan imigresen serta menzahirkan keyakinan bahawa BMFTP akan terus memudahkan mobiliti yang lebih lancar, mengurangkan keseakan di pusat pemeriksaan dan meningkatkan kecekapan rentas sempadan secara keseluruhan.
Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah turut memuji pemerkasaan kerjasama belia dan sukan seperti yang ditonjiolkan menerusi penyertaan Brunei pada Dialog Belia ASEAN ke-4 dan Sesi Perjumpaan Pemimpin ASEAN bersama Wakil Belia ASEAN pada Mei 2025 di Kuala Lumpur sempena Kepengerusian ASEAN Malaysia yang memfokus kepada kepimpinan belia, keterangkuman dan pembangunan mampan.
Mereka turut menzahirkan kegembiraan terhadap penyertaan berterusan Brunei Darussalam dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) sejak tahun 2000 dan mengambil maklum prestasi terbaik negara itu pada SUKMA XXI di Sarawak pada 2024.
“Kedua-dua pemimpin tidak sabar menantikan penyertaan Brunei pada temasya Sukan Borneo 2025 yang bakal berlangsung di Kuching, Sarawak pada 24 hingga 28 Sept 2025 dan mengulangi kepentingan peranan sukan dalam mempererat silaturahim dan membuka peluang pembangunan untuk golongan belia kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Sultan Hassanal Bolkiah turut mengulangi sokongan penuh Brunei terhadap Kepengerusian ASEAN Malaysia dan mengesahkan komitmen negara itu untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia dalam menyalurkan manfaat sosioekonomi yang nyata kepada penduduk di negara anggota ASEAN.
Kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman mengenai kerjasama dalam bidang kesihatan antara Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan rakan sejawatnya dari Brunei iaitu Datuk Seri Dr Mohammad Isham Jaafar.
Sultan Hassanal Bolkiah, yang tiba di Malaysia pada Isnin untuk Lawatan Negara tiga hari atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, diiringi delegasi peringkat tinggi Brunei termasuk Putera Abdul Mateen Bolkiah, Menteri Kabinet dan para pegawai kanan kerajaan.
Brunei adalah rakan perdagangan keenam terbesar Malaysia dalam ASEAN dengan nilai dagangan sebanyak RM7.53 bilion (USD1.77 bilion) pada 2024.
Bagi tempoh Januari dan Jun tahun ini, nilai dagangan Malaysia-Brunei mencecah USD690 juta (RM3.02 bilion) yang merangkumi eksport sebanyak USD500 juta (RM2.18 bilion) dan import USD190 juta (RM840 juta). – Bernama