KUALA LUMPUR:** Malaysia dan Korea Selatan bersetuju untuk memperluas kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, peralihan hijau, pendigitalan, dan pertahanan. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu selepas menerima kunjungan hormat Duta Khas Presiden Korea Selatan, Kim Young Choon.
“Alhamdulillah, kedua-dua negara terus sepakat untuk memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, peralihan hijau, digital dan pertahanan,“ kata Anwar dalam satu hantaran di Facebook.
Korea Selatan kini merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan mencecah US$23.94 bilion (RM113 bilion) pada tahun lalu. Anwar turut menyambut baik hasrat Korea Selatan untuk memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) serta memorandum persefahaman dalam industri pertahanan menjelang Oktober ini.
Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan persediaan Sidang Kemuncak Pemimpin Ekonomi APEC 2025 yang bakal diadakan di Gyeongju, Korea Selatan pada 31 Oktober hingga 1 November 2025.
“Malaysia menyokong kepimpinan Korea dalam persidangan ini bagi mengemudi agenda serantau yang progresif dan inklusif,“ ujar Anwar.
Beliau juga menjemput Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung, untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober ini.
“Malaysia kekal komited memperkukuh kerjasama dengan Korea demi keamanan dan kemakmuran serantau yang berkekalan,“ tegas Perdana Menteri. - Bernama