• 2025-09-24 04:51 PM

DILI: Malaysia dan Timor-Leste telah bersetuju untuk terus memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan, pendidikan, kesihatan, pelancongan dan keselamatan.

Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao menyifatkan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai detik penting dalam hubungan dua hala sejak hubungan diplomatik terjalin pada 2002.

“Perbincangan kami berlangsung dalam suasana yang mesra dan produktif,” katanya pada sidang media bersama di sini.

Gusmao menekankan persetujuan untuk mempertingkat hubungan dua hala dalam sektor penting seperti perdagangan, pelaburan, pendidikan tinggi, kesihatan dan pelancongan.

Beliau berkata pendidikan dan latihan terutama biasiswa baharu dan kerjasama institusi turut menjadi keutamaan.

Inisiatif perkhidmatan udara baharu dan pengecualian visa bagi memudahkan perjalanan rakyat kedua-dua negara mampu memupuk pemahaman budaya serta hubungan sesama rakyat.

Gusmao turut mengucapkan terima kasih kepada Anwar atas sokongan padu dan berterusan Malaysia terhadap pembangunan Timor-Leste serta aspirasi negara itu untuk menyertai ASEAN.

“Kami berkongsi pandangan serupa mengenai isu serantau dan global termasuk keamanan, demokrasi dan Palestin,” katanya.

Beliau menegaskan kedua-dua negara berdiri teguh dalam menggesa agar keganasan dihentikan serta undang-undang antarabangsa dihormati.

Anwar dalam ucapannya mengulangi komitmen Malaysia terhadap usaha Timor-Leste menyertai ASEAN dan kerjasama yang lebih meluas.

“Kami membincangkan mekanisme untuk mempertingkat hubungan dua hala merangkumi pelaburan dalam perdagangan, pelancongan, pendidikan, kesihatan dan tenaga,” katanya.

Perdana Menteri menyatakan Timor-Leste telah melakukan segala yang termampu untuk mempercepat proses penyertaan ASEAN.

“Malaysia berbesar hati menjadi tuan rumah majlis rasmi berhubung penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN,” katanya.

Anwar turut menekankan tahap kepercayaan maksimum yang terjalin antara kedua-dua negara termasuk dalam aspek kesalinghubungan, pertahanan, perolehan, latihan dan perkongsian maklumat.

“Sebagai negara maritim, kita berdepan cabaran serupa seperti penangkapan ikan secara haram, pencerobohan serta keselamatan, dan kerjasama amat penting bagi kita,” katanya.

Mengenai isu Myanmar, Anwar berkata terdapat perkembangan yang positif dalam aspek libat urus.

“Dengan sokongan ASEAN, pengeboman telah berhenti dan keamanan sudah mula dinikmati sejak kejadian gempa bumi,” katanya.

Beliau memaklumkan Malaysia juga telah menubuhkan sebuah hospital medan di Myanmar.

Anwar berkata mediasi ASEAN telah membuahkan hasil dalam konflik membabitkan Thailand dan Kemboja.

“Kita berjaya menghalang sebarang peningkatan keganasan dan perkara ini hanya dapat dicapai dengan sokongan negara-negara ASEAN,” katanya.

Mengulas mengenai isu di Timur Tengah, Anwar mengulangi pendirian tegas Malaysia yang menentang kekejaman di Gaza.

Beliau menyatakan pengeboman berterusan mengorbankan bayi, kanak-kanak dan orang awam yang tidak bersalah.

Kedua-dua pemimpin juga berjanji untuk terus menjalin kerjasama erat di peringkat dua hala dan pelbagai hala bagi mempertingkat kerjasama serta memperkukuh keamanan dan kestabilan serantau. – Bernama