KUALA LUMPUR: Malaysia berharap lawatan negara Presiden China Xi Jinping minggu depan akan membuka laluan kepada hubungan dua hala dan perdagangan yang lebih kukuh antara kedua-dua negara.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Malaysia turut menjangkakan hubungan antara rakyat dengan rakyat dua negara akan terus dipertingkatkan.

“Ia satu penghormatan besar bagi Malaysia dan saya percaya kita mempunyai banyak peluang yang boleh dibincangkan, diperkukuh dan dibina berasaskan pencapaian lepas dan peluang pada masa akan datang,“ katanya selepas menghadiri Forum Media dan Kumpulan Pemikir ASEAN-China 2025 di sini hari ini.

Forum itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof serta turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Ketua Pengarang Agensi Berita Xinhua Lyu Yansong.

Awal minggu ini, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI mengumumkan bahawa Xi akan mengadakan lawatan negara tiga hari ke Malaysia bermula pada 15 hingga 17 April ini.

Kunjungan ini merupakan lawatan kali kedua Xi ke Malaysia. Semasa lawatan pertamanya pada Oktober 2013, Malaysia dan China meningkatkan hubungan ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif.

Menyifatkan China sebagai rakan dagangan penting, Fahmi berkata dengan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun ini, banyak perkara yang boleh dibincangkan, dan negara juga bersedia menyambut ketibaan Presiden China itu.

Menjawab persoalan mengenai ketegangan geopolitik global, Fahmi menegaskan bahawa sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia berpegang teguh kepada prinsip dan dasar sendiri dalam menguruskan hubungan dengan negara lain.

“Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat sudah tentu mempunyai prinsip dan dasar sendiri yang menjadi panduan dalam hubungan dengan negara lain, dan kami kekal berpandukan kepada perkara itu, khususnya komitmen kami dalam ZOPFAN (Zon Aman, Bebas dan Berkecuali) serta dalam ASEAN,“ katanya.

Beliau berkata walaupun globalisasi berdepan cabaran, terutamanya dengan pengumuman tarif terkini oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Malaysia kekal komited untuk membina hubungan dagangan yang lebih kukuh dan rapat dengan semua negara.

Forum sehari itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Ia merupakan anjuran bersama Bernama dan Agensi Berita Xinhua dengan tema “Memperkukuh Kerjasama ASEAN-China”.

Forum berkenaan juga menarik lebih 200 peserta termasuk pemimpin media berpengaruh, wakil-wakil, pegawai kanan kerajaan, dan pakar dari seluruh rantau ASEAN dan China untuk mempererat kerjasama dalam landskap media yang sentiasa berubah.