PUTRAJAYA: Malaysia menjalin kerjasama kesihatan dengan Iran dalam memperkukuh sistem kesihatan negara, yang membuka ruang bagi perkongsian pengetahuan dalam sektor farmaseutikal, aplikasi teknologi perubatan dan amalan klinikal yang cemerlang.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam hantaran di laman X hari ini memaklumkan kepakaran Iran khususnya dalam program transplantasi organ, berpotensi meningkatan mutu rawatan di Malaysia.

Menurut hantaran itu selaras dengan aspirasi Kertas Putih Kesihatan, kerjasama dua hala itu dijangka memberi manfaat antaranya peningkatan kepakaran petugas kesihatan melalui program pertukaran, latihan bersama dan penyelidikan kolaboratif.

“Langkah itu bakal melahirkan sumber manusia kesihatan yang berkemahiran tinggi, serta menjadi tonggak utama sistem kesihatan yang berdaya tahan dan efisien.

“Kolaborasi dalam penyelidikan kesihatan awam, bidang nutrisi dan pengurusan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) adalah signifikan dalam membentuk masyarakat Malaysia yang lebih sihat dan produktif,” menurut hantaran itu.

Sementara itu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam satu hantaran berasingan di akaun X berkata walaupun beliau hanya mengadakan pertemuan dua hala ringkas dengan Menteri Kesihatan Iran, namun pada pertemuan itu, menteri berkenaan telah menekankan pencapaian cemerlang serta amalan terbaik mereka dalam bidang pembedahan pemindahan organ.

Antaranya, lebih 2,000 pemindahan hati dan 1,200 pemindahan buah pinggang telah dilakukan di 20 pusat di seluruh negara pada tahun 2024.

“Jumlah ikrar penderma yang berjaya direalisasikan turut mendorong agenda agar Malaysia mencontohi pendekatan ini, memandangkan kita berdepan cabaran yang sama dari sudut sentimen keagamaan terhadap pendermaan organ,” katanya.

Dzulkefly berkata Malaysia perlu melangkah lebih jauh daripada sekadar kempen “Saya Sudah Berikrar kepada Warisku Hormati Ikrar”, bagi mewujudkan budaya yang benar-benar menghormati hasrat penderma.

Beliau berkata di Malaysia, pemindahan organ merupakan penyelesaian terbaik untuk memastikan kualiti hidup pesakit penyakit buah pinggang kronik (CKD), terutamanya mereka yang berada pada tahap akhir dan bergantung kepada dialisis.

“Terdapat juga bidang yang boleh diteroka seperti program fellowship, latihan untuk pakar bedah kita, latihan lanjutan untuk jururawat, serta potensi kerjasama dalam bidang teknologi, penyelidikan, pembangunan dan farmaseutikal yang perlu diberi perhatian serius,” katanya.

Dzulkefly kini berada di Geneva, Switzerland mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-78 (WHA78) dari 18 hingga 22 Mei.