KUALA LUMPUR: Kejohanan berbasikal Piala Dunia Trek kembali ke Malaysia selepas 25 tahun, dengan Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan menjadi venue penganjuran pada 24 hingga 26 April tahun depan.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill berkata Malaysia telah menerima pengesahan rasmi daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) untuk menganjurkan pusingan terakhir Piala Dunia Trek 2026.
“Kami amat berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia khasnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atas sokongan padu yang diberikan serta kepada UCI atas keyakinan dan kepercayaan yang ditunjukkan kepada Malaysia.
“Kejohanan ini akan menjadi satu detik bersejarah untuk sukan berbasikal negara dan rantau Asia.
“Kejohanan ini akan menjadi landasan utama untuk pusingan kelayakan mata temasya Sukan Olimpik 2028 yang diadakan di Los Angeles.
“Ini faktor yang sangat penting,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amarjit yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) berkata pihaknya akan menjalankan usaha mempromosi kejohanan berkenaan bagi memastikan barisan pelumba utama dunia dapat bersaing di Nilai.
Pada masa sama, beliau percaya jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan rakan sepasukan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dijadual berlumba pada Piala Dunia Trek 2026. – Bernama