• 2025-08-07 10:52 AM

PUTRAJAYA: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya keputusan terbaru rejim Zionis Israel untuk melancarkan pengambilalihan penuh Semenanjung Gaza secara ketenteraan.

Kementerian Luar dalam kenyataannya menyifatkan tindakan itu sebagai langkah tidak berperikemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa.

“Selepas 22 bulan pengeboman tanpa henti, kepungan, dan pemindahan paksa lebih 90 peratus penduduk Gaza, tindakan ini bertujuan menamatkan penyelesaian dua negara,” menurut kenyataan tersebut.

Jika Israel terus dibenarkan bertindak sewenang-wenangnya, proses damai akan musnah dan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri akan dinafikan.

Malaysia menyeru semua negara menolak dasar aparteid Israel dan mengambil tindakan segera untuk mengiktiraf Palestin berdasarkan sempadan pra-1967.

Negara juga didesak memastikan gencatan senjata kekal, pengunduran tentera Israel dari Gaza, dan penamatan sekatan terhadap bantuan kemanusiaan.

“Malaysia menggesa kemasukan bantuan tanpa halangan dan keanggotaan penuh Palestin dalam PBB,” tambah kenyataan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan komitmen Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.

Beliau menyatakan sokongan melalui kenyataan tegas di pentas antarabangsa dan kerjasama dengan pemimpin global- BERNAMA