KUALA LUMPUR: Malaysia mengemukakan lima cadangan strategik bagi membina keyakinan, memperkukuh kerjasama serta memastikan keamanan dan kestabilan berpanjangan di rantau Asia-Pasifik khususnya di Laut China Selatan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata cadangan berkenaan menekankan keperluan mengurus persaingan kuasa besar secara berhemah agar keamanan dan kestabilan serantau terus terpelihara.
“Pertama, ia perlu diurus secara berhemah supaya persaingan kuasa besar tidak menjejaskan keamanan dan kestabilan rantau ini.
“Kedua, aspek kekuatan perlu diimbangi dengan dialog. Kesiapsiagaan pertahanan memang penting namun harus sentiasa diimbangi dengan komunikasi dan diplomasi yang konsisten,” katanya ketika berucap pada sesi pleno kedua Forum Xiangshan ke-12 di Beijing, China.
Mohamed Khaled berkata cadangan ketiga pula berkaitan undang-undang antarabangsa yang mesti dikekalkan sebagai panduan dengan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982 menjadi asas kepada tatatertib maritim, kebebasan pelayaran serta penyelesaian pertikaian secara aman.
“Keempat, kerjasama mestilah bersifat inklusif dengan cabaran bersama seperti perubahan iklim, pandemik, keselamatan makanan dan ekonomi digital dijadikan asas untuk membina keyakinan serta kerjasama.
“Yang terakhir, kita mesti memperkasakan multilateralisme dan mengekalkan kepusatan ASEAN. Hanya penyelesaian masalah secara kolektif, penggubalan peraturan secara inklusif serta pendirian berkecuali ASEAN dapat mengekalkan autonomi dan keseimbangan di rantau Asia-Pasifik,” katanya.
Beliau berkata Laut China Selatan mesti kekal bebas, terbuka dan selamat memandangkan ia merupakan laluan maritim penting menghubungkan Asia Utara dan Timur dengan seluruh dunia, serta menjadi nadi utama ekonomi dan kemakmuran global.
Pada masa sama, Mohamed Khaled memberi penekanan kepada tiga prinsip teras yang menjadi pegangan ASEAN dalam menangani isu keamanan dan keselamatan serantau khususnya di Laut China Selatan.
“Pertama, keselamatan mesti menjadi usaha bersama kerana ancaman terhadap satu anggota adalah ancaman kepada seluruh rantau. ASEAN akan kekal sebagai tonggak kepada tatatertib serantau dengan melibatkan semua pihak serta menggalakkan keterangkuman.
“Kita mempunyai platform praktikal seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus yang merupakan mekanisme diterajui ASEAN bagi membina keyakinan serta menggalakkan kerjasama,” katanya.
Kedua, Mohamed Khaled berkata solidariti ASEAN akan terus diperkasakan dan diperbaharu, sambil menegaskan bahawa semangat itu bukan sesuatu yang baharu kerana ia telah menjadi sebahagian daripada DNA ASEAN sejak penubuhannya pada 1967.
“Solidariti bukan mengenai menggerakkan kekuatan ketenteraan. Ia bermakna berdiri bersama dan menghantar mesej jelas bahawa apabila satu pihak berdepan ujian, semua turut menghadapi tekanan dan cabaran,” katanya.
Akhir sekali, Mohamed Khaled berkata keamanan dan keselamatan memerlukan keterbukaan serta kejujuran kerana kepercayaan tidak dapat dibina dengan bersandarkan pada retorik, kenyataan indah atau bahasa diplomatik semata-mata.
“Malaysia kekal komited terhadap visi ASEAN seperti digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) negara. Kita akan terus membina kerjasama yang kukuh serta penglibatan proaktif bagi menjamin keselamatan berterusan di Asia Tenggara dan rantau Asia-Pasifik,” katanya.
Forum Xiangshan ke-12 menghimpunkan menteri pertahanan, pegawai kanan tentera dan pakar keselamatan dari seluruh dunia bagi membincangkan isu strategik serta kerjasama serantau - Bernama