PETALING JAYA: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor telah meluluskan senarai individu yang akan menganggotai jawatankuasa panel bebas bagi menyemak laporan siasatan insiden letupan saluran gas Putra Heights, Subang Jaya.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata panel bebas berkenaan terdiri daripada lapan individu termasuk dua wakil pembangkang negeri ini yang akan bertindak menyemak serta menilai laporan teknikal yang dikeluarkan pihak polis, bomba serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sebelum ini.
“Kebanyakan mereka adalah golongan profesional, mempunyai kelayakan ikhtisas dalam pelbagai bidang antaranya pembuat dasar sehingga kepada (bidang khusus) cerun, bukit serta bidang minyak dan gas.
“Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin) akan berjumpa dengan mereka dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau status bina semula dan baik pulih rumah mangsa letupan saluran gas Putra Heights di Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru hari ini.
Berhubung status bina semula dan baik pulih rumah mangsa insiden itu, Amirudin berkata sebanyak 79 unit rumah di Taman Putra Harmoni dikenal pasti dibangunkan semula di bawah kelolaan Sime Darby Property.
Beliau berkata daripada jumlah itu, hanya 49 pemilik atau penghuni bersetuju untuk kerja-kerja itu digerakkan, manakala bakinya tidak bersetuju untuk kerja bina semula dan baik pulih dilaksanakan.
Dalam masa sama, Amirudin berkata terdapat 120 unit yang mengalami kerosakan sederhana sedang dibaik pulih dan daripada jumlah itu, 86 unit rumah membuat tuntutan berjumlah RM3.9 juta dengan 61 unit telah dilunaskan bayaran tuntutan.
Bagi Kampung Kuala Sungai Baru pula, Amirudin berkata proses baik pulih dan bina baharu dikelola oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan 11 unit dikenal pasti perlu dibina semula dengan tiga daripadanya telah siap dan bakinya dijangka selesai pada penghujung Oktober.
“Selain itu, sebanyak 63 unit pemunya rumah telah membuat tuntutan kos baik pulih dengan nilai RM1.7 juta, dan pembayaran telah dilakukan kepada 50 pemunya rumah,” katanya - Bernama