PUTRAJAYA: Malaysia kini mengorak langkah ke arah pelaksanaan agenda reformasi buruh yang berani dan menyeluruh dalam usaha memperkasakan pekerja, memperkukuh kesatuan dan memastikan hak-hak yang adil merentasi wilayah serta sektor termasuk ekonomi gig.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata komitmen Malaysia dalam memperjuangkan hak pekerja adalah tidak berbelah bagi dan terus berkembang selaras dengan piawaian antarabangsa serta solidariti global.
“Ketika saya datang ke sini tahun lepas, saya mewakili Malaysia untuk meratifikasi protokol C155 Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. “Saya bangga untuk menyatakan bahawa hari ini Malaysia telah melaksanakan lebih 100 penambahbaikan terhadap undang-undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan negara kita selaras dengan protokol C155 ILO,” katanya ketika berucap pada Sesi ke-113 Persidangan Buruh Antarabangsa di Geneva, Switzerland.
Beliau berkata Malaysia telah mencapai beberapa kejayaan penting tahun lepas termasuk menghapuskan kekangan terhadap penubuhan kesatuan buruh yang dijangka mampu menggandakan keanggotaan badan itu di seluruh dunia.
“Hari ini, Malaysia secara radikal telah mengurangkan sekatan kerajaan terdahulu berhubung penubuhan kesatuan sekerja,” katanya.
Beliau turut menekankan penyelarasan piawaian buruh di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak buat julung kalinya dalam tempoh dua dekad.
“Kami telah selaraskan ketiga-tiga piawaian buruh ini yang memberikan hak dan perlindungan sama rata kepada setiap pekerja di Malaysia tanpa mengira jantina, bangsa, agama dan wilayah selepas 20 tahun berdepan isu ketaksamaan,” katanya.
Sim berkata faedah keselamatan sosial telah meningkat sebanyak 20 peratus dengan liputan diperluas kepada pekerja asing manakala perlindungan sepanjang waktu yang melangkaui kemalangan berkaitan kerja.
“Kadar gaji minimum telah meningkat sebanyak 13 peratus tahun ini manakala purata gaji bulanan meningkat sebanyak 11 peratus berbanding ketika saya datang ke persidangan ini setahun yang lalu,” katanya sambil menambah pengangguran negara berada pada tahap terendah dalam tempoh 10 tahun.
Sim juga berkongsi perkembangan Rang Undang-Undang Pekerja Gig di Malaysia yang kini di peringkat akhir dan beliau bercadang membentangkannya di Parlimen tidak lama lagi.
Beliau berkata meskipun Malaysia sebuah negara yang kecil, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap kesejahteraan pekerja.
Sim turut mengulangi komitmen ASEAN terhadap solidariti dengan merujuk kepada Deklarasi Kuala Lumpur yang menggariskan pelan hala tuju 20 tahun bagi kerjasama rapat dalam kalangan negara anggota.