BANGI: Sekurang-kurangnya dua individu akan didakwa di mahkamah berhubung kes rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata tindakan pendakwaan akan dilakukan dalam masa terdekat berkaitan skandal rasuah berprofil tinggi melibatkan klip video didakwa menunjukkan perbualan beberapa individu berkaitan rasuah.

“Saya akan umum dalam masa terdekat, ada seorang atau dua (individu) dituduh di mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-undang Bertauliah Kali Ke-2 Tahun 2025 anjuran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), di sini hari ini.

Tular beberapa rakaman video didakwa menunjukkan perbualan berkaitan rasuah antara individu tertentu dan beberapa wakil rakyat Sabah berkaitan isu pelesenan mineral di negeri itu.

Pada 6 Jun lepas, SPRM dilaporkan sudah melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan yang telah dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

SPRM sebelum ini memaklumkan telah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu dan menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk analisis forensik digital terhadap video dan bahan bukti berkaitan.