JOHOR BAHRU: Latihan lapangan bagi menguji tindak balas agensi Malaysia dalam menangani penyeludupan bahan radioaktif atau nuklear rentas sempadan akan diadakan di Jeti Maritim Gelang Patah, Johor pada Khamis.
Program ini dilaksanakan di bawah kerjasama negara ASEAN iaitu Indonesia, Thailand, dan Singapura.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Atom Malaysia (Atom Malaysia), Monalija Kosto menjelaskan latihan ini sebahagian daripada Program Latih Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear MITSATOM 2025.
Ia merupakan penganjuran kali keempat di Malaysia selepas kali terakhir diadakan di Sabah pada 2018.
Latihan ini dijalankan bersempena Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025, dengan Atom Malaysia juga berperanan sebagai pengerusi ASEAN Network of Regulatory Bodies on Atomic Energy (ASEANTOM).
“Selepas tujuh tahun, kita mengadakan semula latihan ini. Kali ini meliputi kedua-dua aspek, sempadan darat dan laut.
“Ini membolehkan kita menangani penyeludupan bahan radioaktif secara lebih komprehensif,“ kata Monalija dalam sidang media selepas Majlis Perasmian MITSATOM 2025.
Latihan ini bertujuan menguji keberkesanan pengesanan dan tindak balas negara anggota ASEAN dalam menangani ancaman keselamatan nuklear.
Senario latihan melibatkan usaha menyekat penyeludupan empat bahan radioaktif yang berjaya dikekang dan dikembalikan ke kawalan pihak berkuasa.
“Bahan radioaktif ini perlu dikawal supaya tidak jatuh ke tangan yang salah.
Risiko kegunaan untuk keganasan atau ancaman keselamatan perlu dielakkan,“ tambah Monalija.
Selain latihan lapangan, simulasi atas meja turut dijalankan bagi membincangkan isu-isu berkaitan senario kemalangan radiologikal dan nuklear. - Bernama