• 2025-07-25 09:24 AM

KUALA LUMPUR: Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia (MYMT) 2026 dilancarkan secara rasmi hari ini bagi mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi utama perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi dan mampu milik.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dengan slogan *Healing Meets Hospitality*, MYMT 2026 menyasarkan untuk menarik lebih ramai pelancong kesihatan antarabangsa.

“Malaysia telah lama diiktiraf sebagai destinasi pilihan dalam pelancongan perubatan. Pada 2024, kita merekodkan kehadiran 1.6 juta pelancong kesihatan, menjana pendapatan sebanyak RM2.72 bilion iaitu peningkatan 21 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Dzulkefly menambah, kedudukan Malaysia dalam sektor itu turut diperkukuh apabila negara tersenarai dalam kelompok 10 destinasi pelancongan perubatan terbaik dunia oleh Nomad Capitalist pada Mei lepas.

Antara tumpuan utama MYMT 2026 ialah program Hospital Pelancongan Perubatan Perdana (FMTH) yang memberi pengiktirafan kepada kecemerlangan dalam penjagaan klinikal.

“Empat hospital cemerlang yang kini berada di fasa akhir penilaian termasuk Institut Jantung Negara, Island Hospital Pulau Pinang, Mahkota Medical Centre dan Subang Jaya Medical Centre,” jelasnya.

Kempen itu turut memperkenalkan penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin sebagai duta rasmi.

Dzulkefly berkata Malaysia bersedia memainkan peranan utama dalam kerjasama serantau bidang kesihatan sebagai Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN 2026 - BERNAMA