KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai potensi besar untuk membangunkan Sistem Alamat Nasional (NAS) yang lebih cekap dan setanding dengan sistem digunakan negara maju seperti Australia.
Ketua Pegawai Teknikal Geoscape Australia, Joseph Abhayaratna, berkata persamaan struktur pentadbiran antara kedua-dua negara memudahkan pelaksanaan sistem ini.
“Kedua-dua negara memiliki banyak negeri dan wilayah pentadbiran, masing-masing dengan pangkalan data dan senarai alamat tersendiri. Justeru, saya percaya kita berkongsi titik permulaan yang serupa,“ katanya pada Persidangan Alamat Nasional 2025 di sini.
Beliau turut memuji usaha Malaysia menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam membangunkan NAS sebagai sistem alamat yang seragam dan diiktiraf kerajaan.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyatakan bahawa NAS telah dikenal pasti sebagai “needle mover” di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.
Menurut Abhayaratna, NAS Australia yang dibangunkan oleh Geoscape telah menyumbang lebih AU$1.4 bilion dalam nilai ekonomi.
Persidangan dua hari ini menampilkan 15 sesi pembentangan daripada penceramah dalam dan luar negara. – Bernama