KUALA LUMPUR: Malaysia dan Pakistan perlu menggiatkan semula kerjasama dua hala dan bergerak ke arah dasar yang lebih agresif dan progresif, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata hubungan antara kedua-dua negara, walaupun sudah lama terjalin, telah menjadi “agak tidak berganjak” dan memerlukan pendekatan praktikal yang diperbaharui, berlandaskan dasar yang lebih jelas.
“Sudah tiba masanya kita bangkit dan mulakan dasar yang lebih agresif ini untuk kelangsungan hidup kita sendiri.
“Malaysia adalah sebuah negara perdagangan. Kami perlu bekerjasama dengan rakan dagang sedia ada, tetapi juga ingin mencari peluang baharu, dan Pakistan adalah salah satu negara yang kami nantikan (untuk bekerjasama),” kata beliau.
Anwar berkata demikian menerusi ucapannya pada Persidangan Perniagaan dan Pelaburan Pakistan-Malaysia, di sini, hari ini, sempena lawatan rasmi rakan sejawatannya Perdana Menteri Muhammad Shehbaz Sharif ke Malaysia.
Kedua-dua pemimpin juga komited untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri berkata Malaysia dan Pakistan berkongsi hubungan budaya, pendidikan dan intelektual yang kukuh, tetapi menegaskan bahawa kerjasama moden juga perlu berasaskan kepada pragmatisme ekonomi.
Menurut beliau, kestabilan politik, dasar ekonomi yang jelas, dan mekanisme yang cekap penting untuk memastikan proses membuat keputusan dapat dipercepat.
Selain itu, daya tahan ekonomi juga perlu melangkaui sempadan domestik.
“Kita mempunyai hubungan tradisional dalam perdagangan dan kerjasama. Kita juga telah sedar bahawa pergantungan kepada satu-satu negara, satu sistem, akan menjadi sia-sia.
“Oleh itu, kita perlu meluaskan hubungan perdagangan. Itulah sebabnya kita akan berusaha untuk memperkukuhkan ASEAN dari segi perdagangan, dari segi pelaburan,“ kata Anwar.
Sementara itu, Muhammad Shehbaz berkata sektor swasta memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan dan memanfaatkan potensi penuh kerjasama Malaysia-Pakistan.
“Saya percaya bahawa walaupun kerajaan boleh meletakkan asas dan menyediakan rangka kerja yang dapat membantu, namun hanya sektor swasta yang mampu memacu enjin pertumbuhan.
“Perniagaan harus dikendalikan oleh usahawan dan pakar dalam sektor swasta dan bukan oleh kerajaan. Peranan mana-mana kerajaan adalah untuk bertindak sebagai pemangkin bagi menggalakkan perniagaan dan persekitaran perniagaan yang mesra,“ katanya.
Sehubungan itu, Muhammad Shehbaz menggalakkan syarikat dari Malaysia dan Pakistan untuk meneruskan usaha sama, perkongsian perniagaan kepada perniagaan dan kerjasama teknologi, dengan menekankan bahawa penglibatan padu sektor swasta akan mengukuhkan daya saing dan inovasi serantau.
“Dengan membuka operasi di Pakistan, syarikat Malaysia akan memperolah pintu masuk strategik ke pasaran serantau dan global yang lebih meluas.
“Melalui Pakistan, kita boleh bersama-sama mendapat akses ke pasaran Teluk yang lebih kompetitif. Saya yakin dengan gabungan usaha kita, kita akan dapat membuka peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan, kerjasama industri dan mewujudkan sinergi,“ katanya - Bernama