KUALA LUMPUR: Malaysia komited untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pengurangan Risiko Bencana (UNDRR) dalam usaha mempertingkat kesiapsiagaan dan ketahanan terhadap bencana di peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Kelapan Platform Global bagi Pengurangan Risiko Bencana di Geneva, Switzerland pada 4 dan 5 Jun ini, berkata perkara itu dibincang semasa pertemuan beliau dengan Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu merangkap Ketua UNDRR Kamal Kishore di Pusat Persidangan Antarabangsa Geneva hari ini.

“Pertemuan ini amat penting bagi Malaysia, khususnya dalam usaha kita memperkukuh kerjasama strategik bersama UNDRR dalam mendepani cabaran bencana yang semakin kompleks dan berkait rapat dengan perubahan iklim serta ketahanan komuniti,” katanya dalam hantaran laman Facebook.

Ahmad Zahid berkata turut dibincang potensi pewujudan Akta Pengurangan Risiko Bencana Nasional, pembangunan sistem amaran awal lebih pintar, pemetaan risiko banjir lebih tepat serta pelaburan strategik dalam pendidikan dan kesedaran komuniti.

Beliau turut berkongsi pengalaman Malaysia dalam mendepani bencana banjir besar pada akhir 2024 yang menjejaskan lebih 150,000 penduduk di sembilan negeri dan menekankan kepentingan perancangan jangka panjang selain langkah pencegahan berasaskan sains serta data.

Ahmad Zahid juga berkata Kamal Kishore memuji inisiatif pantas Malaysia melalui pasukan SMART dalam misi kemanusiaan serta operasi mencari dan menyelamat di Myanmar baru-baru ini yang mencerminkan kepimpinan negara dalam konteks ASEAN.

Beliau berkata Malaysia turut menyatakan kesediaan untuk memainkan peranan lebih besar dalam kerangka kerjasama serantau melalui Perjanjian ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan semasa mempengerusikan ASEAN pada 2025 khususnya dalam memperkukuh kesiapsiagaan serta ketahanan bencana di rantau ini.

“Insya-Allah, melalui perkongsian pintar bersama UNDRR dan rakan-rakan global, kita akan terus berusaha memastikan bahawa dasar-dasar negara ini mampu melindungi nyawa, memelihara kesejahteraan rakyat dan membina masa depan yang lebih berdaya tahan,” katanya.