LYON: Pencapaian cemerlang belia Malaysia pada pertandingan WorldSkills (WSC 2024), membuktikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini mendapat perhatian dunia dan berada di landasan tepat.

Satu gangsa dan empat ‘Medallion for Excellence’ yang dituai di pentas kemahiran terbesar dunia itu adalah satu pencapaian membanggakan sekali gus membuktikan TVET penting bagi melahirkan belia berkemahiran tinggi selaras kehendak industri.

Ia juga mencerminkan institusi TVET negara berupaya melahirkan bakat berkemahiran tinggi, malah ada antara mereka yang telah ditawarkan peluang pekerjaan sebelum mereka menamatkan pendidikan.

Pendedahan lebih komprehensif juga perlu diberikan kepada belia bahawa TVET bukan hanya menjamin peluang pekerjaan, tetapi juga menawarkan penerokaan ilmu di peringkat antarabangsa menerusi WSC, baik di peringkat Asean, Asia mahupun global.

Meskipun WSC kurang mendapat perhatian di negara ini, namun pentas pertandingan tersebut amat dinantikan belia di Eropah, China, Jepun, dan Korea Selatan yang menghantar ramai wakil dalam setiap segmen kemahiran bagi menilai tahap daya saing belia mereka.

Pertandingan lebih 20 jam dalam tempoh empat hari jelas menguji mental, fizikal dan tahap pemikiran belia melalui pelbagai modul dan tugasan mengejut oleh pakar bidang kemahiran.

Malaysia perlu serius dalam mengangkat TVET dan membangunkan bakat belia, kerana negara seperti Singapura dan Indonesia kini semakin maju, terbukti dengan kejayaan mereka memenangi emas pada WSC 2024.

Malah, peruntukan yang lebih besar wajar disalurkan kepada TVET bagi membolehkan beberapa bidang baharu antaranya teknologi air, keselamatan siber dan pemasaran digital diteroka.

Meskipun Malaysia masih belum menuai emas pada WSC 2024, belum terlambat untuk kembali bangkit dengan menampilkan aksi yang lebih cemerlang pada edisi akan datang iaitu WSC 2026 di Shanghai, China. Au revoir! (Selamat Tinggal) Lyon and Selamat Datang Shanghai.

WSC dianjurkan setiap dua tahun sekali bagi meningkatkan kemahiran serta daya saing belia dan pekerja bertaraf dunia.

WSC 2024 bermula 10 hingga 15 Sept menghimpunkan 1,400 pesaing dari lebih 70 negara dan wilayah yang bertanding dalam 62 kategori kemahiran.