• 2025-06-25 02:50 PM

PUTRAJAYA: Malaysia dan Republik Kyrgyz menyeru agar usaha dipergiat untuk mengiktiraf dan melibatkan semula Afghanistan dalam komuniti antarabangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam sidang media bersama Presiden Republik Kyrgyz Sadyr Zhaparov, hari ini berkata kedua-dua negara sependapat bahawa Afghanistan wajar diterima dalam komuniti antarabangsa, walaupun dengan beberapa syarat atau pemerhatian tertentu.

“Saya berkongsi pandangan kita dalam hal ini kerana sebagai negara yang lebih hampir dengan Afghanistan, anda (Republik Kyrgyz) mempunyai kefahaman yang lebih mendalam. Kami pastinya akan mendapat manfaat daripada pandangan dan nasihat anda mengenai perkara ini,” kata Anwar.

Taliban kembali berkuasa di Afghanistan pada Ogos 2021 susulan kejatuhan pantas kerajaan yang disokong Amerika Syarikat, selepas penarikan keluar pasukan tentera Amerika dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Meskipun mempunyai rekod pemerintahan yang tegas dan kontroversi, komuniti antarabangsa masih belum mengenakan sekatan sepenuhnya terhadap pentadbiran Taliban.

Keengganan untuk mengenakan sekatan penuh terhadap pentadbiran Taliban berpunca terutamanya daripada kebimbangan bahawa tindakan tersebut akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan, memandangkan jutaan rakyat Afghanistan berdepan kebuluran dan kejatuhan ekonomi.

Beberapa organisasi bantuan serta kerajaan memilih untuk mengekalkan bentuk penglibatan terhad bagi membolehkan bantuan kemanusiaan diteruskan.

Pada Mac lepas, Ketua Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan (UNAMA) Roza Otunbayeva, memaklumkan kepada Majlis Keselamatan PBB bahawa Taliban perlu menunjukkan komitmen serius terhadap proses integrasi semula, termasuk menghormati obligasi antarabangsa seperti hak wanita dan usaha memerangi keganasan, sekiranya Afghanistan mahu kembali memainkan peranan dalam sistem global.

Selain isu Afghanistan, Anwar dan Zhaparov turut menyuarakan kebimbangan terhadap konflik berpanjangan di Gaza, serta mengulangi kecaman tegas mereka terhadap tindakan agresif Israel.

“Kami mahu Israel menghentikan tindakan pencerobohan, penjajahan dan pembunuhan beramai-ramai, serta memberikan keselamatan dan keadilan kepada rakyat Gaza yang telah lama menderita.

“Mereka terus menderita akibat kegagalan komuniti antarabangsa menghormati prinsip asas hak asasi manusia, serta wujudnya percanggahan dan hipokrasi dalam kalangan negara Barat apabila berdepan kekejaman terhadap rakyat Palestin dan Gaza,” kata Anwar.

Dalam pada itu, Anwar dan Zhaparov turut menyatakan sokongan terhadap hak pihak berkuasa Iran untuk bertindak balas terhadap pencerobohan Israel, demi menjamin keamanan yang adil serta penyelesaian secara harmoni agar negara-negara di Timur Tengah dan dunia Arab dapat mengekalkan keselamatan tanpa ancaman berterusan daripada Israel.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata beliau menerima mesej peribadi daripada Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman, yang menyatakan sokongan terhadap gencatan senjata serta menyeru semua negara, khususnya negara Islam, supaya menyokong usaha perdamaian dan mengecam pencerobohan berterusan oleh Israel.