MOSCOW: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini memulakan lawatan kerja ke ibu kota Rusia dengan mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatannya Alexei Overchuk.
Fadillah diiringi Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dan Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Cheong Loon Lai.
Mesyuarat dua hala tersebut yang berlangsung di White House (Moscow) antara lainnya membincangkan tentang kerjasama dua hala sedia ada serta meneroka peluang kerjasama baharu, khususnya dalam sektor tenaga, pemindahan teknologi, pendidikan dan latihan.
Mesyuarat tersebut turut disertai Timbalan Menteri Tenaga Rusia Evgeny Petrovich Grabchak dan Timbalan Menteri Pembangunan Ekonomi Vladimir Ilichev.
Hubungan diplomatik Malaysia dan Rusia telah terjalin sejak 1967.
Pada 2024, Rusia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah dengan nilai dagangan mencecah RM11.46 bilion (US$2.48 bilion).
Eksport utama Malaysia ke Rusia termasuk produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan alat ganti serta makanan diproses.