• 2025-06-26 04:49 PM

JOHOR BAHRU: Malaysia mensasarkan nilai eksport produk landskap ke Singapura mencecah RM500 juta menjelang 2026.

Sasaran ini dicapai melalui kerjasama strategik merangkumi pelbagai sektor, menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau yakin sasaran itu boleh dicapai dengan perancangan rapi serta hubungan diplomatik kukuh antara kedua-dua negara.

“Potensi ini perlu digilap dan dirancakkan. Saya akan ke Singapura untuk tandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam sektor landskap dan pembangunan bandar,“ katanya selepas Majlis Perasmian Hari Landskap Negara 2025 di Johor hari ini.

MoU tersebut bakal melibatkan kerjasama dalam pembangunan bandar pintar, perumahan, taman awam, dan konsep rumah pintar.

Ia merupakan kesinambungan lawatan rasmi Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong ke Malaysia baru-baru ini.

Johor dijangka menjadi penerima manfaat utama kerana memiliki 87 peratus tapak semaian di Malaysia, terutamanya dari Muar dan Batu Pahat.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut memperuntukkan RM14.5 juta untuk 128 projek taman awam di Johor.