• 2025-06-26 09:24 PM

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 33 tahun maut dipercayai ditikam rakan serumahnya selepas pergaduhan di sebuah rumah di Kampung Kubu Gajah, Sungai Pelong, Sungai Buloh, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.26 malam dan mendapati mangsa terbaring dengan kesan tikaman di dada kiri.

Kematian mangsa disahkan oleh petugas ambulans dari Hospital Sungai Buloh.

“Suspek, seorang lelaki berusia 40 tahun yang merupakan rakan serumah mangsa, telah direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis terdekat atau menghubungi hotline Balai Polis Sungai Pelong di talian 03-6038 3322 atau Insp Nurnazihah Norzilan di 011-11499008.